Capai kestabilan politik dengan kesatuan ummah

- Advertisement -

TEMERLOH: Penyatuan ummah merupakan agenda penting dalam kestabilan politik di negara ini demikian menurut Perwakilan PAS Negeri Pulau Pinang, Abidin Ismail.

- Advertisement -

Menurutnya, jika diteliti teks ucapan dasar, penulisan dan ceramah Tuan Guru Presiden sejak dua dekad lalu tidak akan terlepas dalam penekanan terhadap seruan penyatuan ummah.

Katanya, kesedaran penyatuan ummah telah terbentuknya Muafakat Nasional sehingga kepada penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2020.

“Dalam Pilihan Raya ke-15, kita berjaya peroleh 74 kerusi di peringkat Parlimen, di mana 43 kerusi dimenangi oleh PAS, terbanyak dalam sejarah kemenangan PAS di peringkat parlimen.
 
“Ini menunjukkan PAS bersama PN telah menjadi teras dan harapan bagi orang Melayu Islam,” katanya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini.

Katanya, keputusan ini telah membawa mesej bahawa PN menjadi kepercayaan kepada pengundi Melayu untuk memimpin negara.

“Namun begitu, kita tidak boleh leka kerana pihak lawan secara terus menerus membawa naratif yang buruk kepada PAS seperti khawarij, ekstremis, penunggang agama dan lain-lain lagi.

“PAS perlu segera menangkis segala tuduhan yang dilemparkan terutama dalam media sosial yang banyak menjadi rujukan pengundi muda pada ketika ini,” ujarnya.

Abidin berkata, bagi menguatkan penyatuan ummah, PAS Pulau Pinang menuntut agar kesemua 15 kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang diberi kepada PAS dan BERSATU.

PAS Pulau Pinang menyokong penuh keterbukaan PAS dalam memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem selagi mana agenda politik Islam berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera.

Tambah beliau lagi, di Pulau Pinang, PN perlu memenangi minima 6 kerusi campuran dan 15 kerusi majoriti Melayu untuk menjadi kerajaan negeri.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Kelantan yang sudi menerima pelancong bukan Melayu dari Pulau Pinang dalam memperkenalkan pentadbiran PAS kepada mereka.

“Ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu kerana sudi berdialog dengan komuniti peniaga Cina dalam memahamkan mereka bahawa bangsa lain tidak diabaikan apabila PAS mentadbir sesebuah negeri mahupun negara,” katanya.

Oleh itu, katanya lagi, PAS Pulau Pinang akan terus mendukung Perikatan Nasional (PN) untuk pakatan politik dalam menghadapi PRU ke-16 nanti. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -