Tiga individu cedera diserang memerang

Salah seorang mangsa yang cedera akibat diserang sekumpulan memerang ketika melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru Perdana Park, Kota Kinabalu, Sabah.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Tiga individu mengalami kecederaan akibat diserang memerang ketika berjoging di Tanjung Aru Perdana Park, di sini.

Dua wanita yang masing-masing berusia 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki berumur 56 tahun diserang sekumpulan memerang semasa melakukan aktiviti rekreasi di lokasi kejadian, semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata polis menerima maklumat dalam kejadian 6.40 pagi bahawa individu terbabit telah diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan memerang dari arah belakang.

“Ekoran dari serangan tersebut, ketiga-tiga mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran.

“Bagaimanapun, polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Datuk Bandaraya Kota Kinabalu dalam satu kenyataan berasingan berkata, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha taman rekreasi tersebut agar menutup operasi serta-merta susulan insiden tersebut.

Menurut beliau, langkah penutupan ini diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan taman itu bagi mengelakkan sebarang insiden lain tidak diingini. 

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan penutupan ini bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -