Perlu pilihan raya hari-hari agar ada beras tempatan?

- Advertisement -

KLUANG: Sudah menjadi situasi biasa apabila beras tempatan dilihat banyak di dalam pasaran di sesuatu lokasi hanya ketika ada pilihan raya berbanding sewaktu tiada pilihan raya.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia seolah-olah membayangkan bahawa perlu ada pilihan raya setiap hari agar beras tempatan sentiasa ada di pasaran.

Menurut beliau, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sepatutnya memastikan keterjaminan beras tempatan, namun ia dilihat gagal dilaksanakan dengan baik.

“Jamin makan apa ini? Yang saya tahu bila ada pilihan raya, baru dijaminkan beras. Kalau tidak ada pilihan raya, disoroknya beras. Jamin apa? Kita bagitahu kepada kerajaan yang ada ini, jamin apa?

“Kalau begitu caranya, kita nak bagi tahu kepada semua rakyat yang ada di Malaysia, kena ada pilihan raya hari-hari baru ada beras,” katanya yang juga Ahli Parlimen Larut.

Menurut Hamzah, bukan sahaja dari sudut bekalan beras tempatan, ia termasuk juga dalam soal pemberian wang dan bantuan yang dilihat aktif berlaku pada waktu pilihan raya.

“Apakah ini yang kita mahukan? Saya nak minta kepada semua jentera kita bangkit dan kita beritahu kepada rakyat hanya apabila Perikatan Nasional mengambil alih, kita akan tentukan keterjaminan itu adalah benar-benar adil.

“Bukan hanya dalam pilihan raya, insya-Allah. Itulah perjuangan kita,” katanya pada majlis Pengumuman Calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRK N.29 DUN Mahkota di Bilik Gerakan Utama (BGU) di Kampung Melayu, di sini malam tadi.

Tegas Hamzah, PERIKATAN NASIONAL akan berjuang untuk menentang semua bentuk kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini terhadap rakyat.

“Kita tidak mahu rakyat hari ini tinggal dalam keadaan yang benar-benar terhimpit. Masalah kos sara hidup adalah sesuatu yang telah menjadi buah mulut. Bukan hanya di kalangan kita pemimpin-pemimpin parti-parti politik, tetapi rakyat di bawah sana.

“Mereka juga hidup dalam keadaan terhimpit. Semua di kalangan rakyat hari ini berkatakan sedemikian rupa. Kerana apa? Kerana pengurusan parti yang ada hari ini,” katanya.

Beliau turut berbesar hati dengan kehadiran ramai jentera parti pada program tersebut yang menunjukkan semangat dan komitmen mereka untuk memastikan kerusi itu dapat dirampas daripada BN.

“Saya tahu bahawa kita hadir hari ini kerana kita ikhlas, kerana kita jujur, kerana kita mahukan parti ini bangkit demi perjuangan untuk rakyat yang ada dalam negara kita insya-Allah,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Hamzah mengumumkan bahawa tokoh sukan, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ yang juga bekas pegawai Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah dipilih sebagai calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRK DUN Mahkota itu.

Coach Haizan yang juga seorang bekas pemain bola sepak Johor FA sejak 1987 dan pernah mewakili Johor FA di dalam pelbagai kejohanan bola sepak termasuk Piala Razak dan Piala Presiden adalah merupakan Ahli Jawatankuasa  BERSATU Bahagian Kluang.

Berucap sama Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin

Antara pimpinan utama yang hadir ialah Pengarah Utama PRK DUN Mahkota yang juga Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali dan Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary serta Datuk Awang Hashim yang mewakili PAS Pusat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Allahyarhamah memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH.

Sementara Barisan Nasional (BN) pada Sabtu mengumumkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon PRK DUN Mahkota pada 28 September ini. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

- Advertisement -