
KUALA TERENGGANU: RXZ Members mengucapkan terima kasih kepada semua pihak masjid yang menunggu kedatangan mereka sempena program ‘RXZ Members 6.0’ pada 13 dan 14 September ini.
Program yang dijangka dihadiri oleh 80,000 peserta akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus
“Alhamdulillah, terima kasih semua pihak masjid yang terlibat dengan RXZ Members, masjid-masjid di bawah ni menunggu kedatangan korang semua. Masjid yang mesra musafir. Alhamdulillah,” ujar RXZ Members dalam satu hantaran di laman sosialnya.
Menurutnya, mana-mana ahli yang sudah sampai di Kuala Terengganu dan tidak ada homestay lagi bolehlah berehat sebentar untuk melepaskan penat lelah di beranda masjid yang disediakan.
Sementara itu, pihak Masjid Al Abrar Bukit Tok Beng mengucapkan selamat kepada para peserta program tersebut.
“Selamat datang ke Negeri Terengganu Darul Iman. Negeri cantik, orang pula baik-baik.
“Kami dari pihak Jawatankuasa Masjid Al Abrar Bukit Tok Beng menjemput sahabat-sahabat RXZ semua datang untuk ziarah dan mengimarahkan masjid kami,” ujar masjid itu pada catatan di laman Facebooknya.
Menurut catatan itu, pihak masjid juga memaklumkan mempunyai dua beranda besar kanan dan kiri masjid yang dilengkapi kipas angin yang banyak serta mozek yang sejuk untuk peserta program berehat dan melelapkan mata selepas penat perjalanan jauh.
Katanya, bilik mandi juga ada untuk membersihkan badan untuk keselesaan beribadah nanti.

Dalam catatan yang lain, pihak masjid memaklumkan pengerusinya, Prof Madya Dr Shafiee Hamzah bersama saf kepimpinan jawatankuasa berbincang untuk menyambut tetamu dari kalangan ahli RXZ ziarah dan mengimarahkan masjid.
“Antara perkara yang dibincangkan menu makanan tengah hari pada hari Sabtu, keselamatan motosikal dengan pengawal keselamatan 24 jam, tempat mandi dan tidur yang selesa dan membuka peluang kepada peniaga untuk berniaga.
“Jangan lupa niat musafir sebelum bertolak ke negeri kami, perbanyakkan selawat sepanjang perjalanan. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat serta kasih sayang Allah jua…Aamiin Ya Allah,” ujarnya.
Pihak Masjid Bandar Al-Wathiqubillah Kuala Nerus turut mengucapkan selamat datang kepada para peserta program tersebut.
“Di sini pihak masjid mempelawa sahabat-sahabat yang dimuliakan untuk menjadikan masjid kami sebagai destinasi anda semua.
“Jemput solat berjemaah dan beriktikaf di masjid kami. Pihak kami mendoakan semoga segala perjalanan program sahabat-sahabt semua lancar dan datang serta pulang dengan selamat bersama kenderaan masing-masing. Hati-hati dalam perjalanan,” menurut masjid pada catatan di laman sosialnya.
Masjid Kampung Sungai Ikan menerusi laman Facebooknya juga mengucapkan selamat datang kepada mereka.
“Di sini pihak masjid mempelawa sahabat-sahabat yang dimuliakan untuk menjadikan masjid kami sebagai destinasi ibadah anda semua.
“Jemput singgah solat berjemaah, bersihkan diri dan beriktikaf di masjid kami,” ujarnya.
Sementara itu, Himpunan RXZ Member 5.0 pada tahun lalu disifatkan paling meriah dengan kehadiran lebih 60,000 peserta seluruh negara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei. – HARAKAHDAILY 11/9/2024
.











