
KUANTAN: Penduduk di kawasan Taman Penor Makmur memerlukan surau untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor berkata, penduduk memaklumkan pemaju menyediakan tapak surau pada pelan projek perumahan itu namun status tanah tersebut belum jelas dan tiada bangunan surau dibangunkan.
Katanya, masjid terdekat ialah Masjid Penjara Penor dengan jarak kira-kira satu kilometer dan penduduk terpaksa melawan arus untuk ke situ dengan menaiki motosikal.
“Jika melalui pusingan-U di Kampung Batu Putih sangat jauh,” ujarnya yang bertemu dengan jawatankuasa penduduk perumahan itu, malam tadi. (Foto atas)
Menurutnya, bilangan rumah sebanyak 1,126 unit yang dibahagikan kepada empat blok iaitu A, B, C dan D dengan anggaran penduduk yang sudah mendiami seramai 350 orang.
Tambahnya, penduduk juga membangkitkan isu laluan keluar di simpang masuk ke taman perumahan bertentangan dengan pusingan U selepas Penjara Penor.
“Jadi, pemaju membuat hadangan konkrit di laluan keluar masuk ke kawasan perumahan bagi mengelakkan penduduk menggunakan pusingan U tersebut.
“Namun penduduk yang ingin menghala ke Kuantan terpaksa melalui jarak yang jauh,” ujarnya.
Katanya, jarak untuk membuat pusingan U dari susur keluar taman perumahan di Kampung Batu Putih ialah 5.7 km untuk menghala ke Kuantan.
Selain itu, ujarnya masalah telekomunikasi dan capaian internet yang lemah sangat ketara di kawasan itu.
“Masalah line telefon yang lemah dan capaian internet perlahan di keseluruhan kawasan perumahan kecuali bagi Blok D yang terletak berhampiran dengan jalan Kuantan-Pekan,” katanya.
Justeru, beliau berkongsi pandangan beberapa tindakan yang boleh dilakukan bagi menjayakan beberapa perkara yang dihadapi itu.
“Insya-Allah saya akan bersama membantu menyelesaikan beberapa perkara yang dibangkitkan dengan bantuan agensi dan jabatan berkaitan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024











