
ARAU: PAS akan membincangkan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada mesyuarat, Sabtu ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui media di Arau Kopi, semalam.
“Hari Sabtu ni mesyuarat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu ketika ditanya mengenai PRK itu.
Beliau singgah di sini kerana menyertai Konvoi Kelantan Ride TMK 2024 bagi mempromosikan Tahun Melawat Kelantan dan Semarak Kemerdekaan 2024 bersama ARC Kelantan.
Konvoi itu menjelajah ke negeri Kedah, Perlis dan selatan Thailand.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 September akan datang.
PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022 lalu, Allahyarhamah Sharifah Azizah memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Beliau memperoleh 16,611 undi dalam pertembungan empat penjuru, mengalahkan calon Pakatan Harapan-Amanah, Muhammad Taqiuddin Cheman, yang mendapat 11,445 undi, calon Perikatan Nasional, Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman (555).
Jumlah pengundi berdaftar di DUN Mahkota adalah 65,074 orang dengan 36,225 undi direkodkan, menjadikan peratusan keluar mengundi pada PRN lalu 55.67 peratus. – HARAKAHDAILY 23/8/2024











