
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman menjelaskan kenapa labuh tukun di Taman Laut Pulau Kapas, Marang, semalam.
“Kenapa labuh tukun di kawasan Taman Laut Pulau Kapas? Kawasan Taman Laut maknanya nelayan tak boleh nak mancing situ.
“Rugilah letak tukun tapi nelayan tak boleh manfaat,” ujarnya yang berkongsi di laman sosialnya, hari ini berhubung persoalan mengenai tukun yang dilabuhkan itu.
Beliau menjelaskan, tukun ada dua tujuan iaitu konservasi dan rekreasi.
Tambahnya, tukun konservasi maknanya tukun untuk tujuan pembiakan ikan yang dilabuhkan di kawasan larangan menangkap ikan seperti taman laut agar ikan boleh membiak tanpa diganggu.
Katanya, ikan yang membiak di kawasan taman laut itu akan keluar ke laut lepas menjadi rezeki para nelayan.
Menurutnya lagi, manfaat diperolehi nelayan secara tidak langsung walaupun tidak boleh hendak memancing di kawasan tukun.
“Setiap tahun kita labuhkan berpuluh unit tukun konservasi di kawasan Taman Laut seperti Pulau Kapas dan Pulau Redang.
“Tapi kita ada lagi untuk tahun ini 100 tukun rekreasi sedang dalam pembinaan dan akan mula dilabuhkan pada 26 Ogos ini di beberapa daerah perairan Terengganu,” jelasnya.
Beliau menambah, tukun rekreasi dilabuhkan dalam zon tangkapan nelayan pantai.
“Yang ini nelayan boleh pergi tangkap ikan bila-bila masa di kawasan tukun,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.
Semalam, sebanyak 23 unit tukun tiruan cheese block dilabuhkan di Taman Laut Pulau Kapas
Dr Azman memberitahu ‘tukun keju’ seberat kira-kira dua tan itu adalah sumbangan syarikat kontraktor oil and gas, Syarikat HHA Associate Sdn Bhd dan Petronas – Integrated Bekok Oil dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri sangat menghargai sumbangan dan kerjasama daripada pihak korporat dan swasta untuk sama-sama berkolaborasi dalam aktiviti memperkayakan sumber perikanan di laut Terengganu. – HARAKAHDAILY 16/8/2024











