
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengatasi masalah cuaca kering yang kini menjejaskan sektor pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, sebanyak 1,221 petani di negeri ini terutama di luar kawasan pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terlibat dalam situasi demikian.
“Antaranya seperti di Titi Tinggi, Beseri, Paya dan Bintong yang mengalami kerosakan tanaman padi disebabkan kekurangan bekalan air.
“Empangan Timah Tasoh yang biasanya berfungsi sebagai sumber air untuk pengairan pertanian dan bekalan domestik, kini mencatatkan penurunan paras air yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, paras air di empangan tersebut telah menurun kepada tahap pengurangan (RL) 26.90 meter, iaitu pada aras amaran, dengan kapasiti takungan semasa hanya sekitar 38.5 peratus.
Keadaan tersebut menyebabkan bekalan air dari empangan tersebut hanya diutamakan untuk kegunaan domestik, yang dijangka mampu bertahan selama tiga bulan sekiranya cuaca kering berterusan.
Namun, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Perlis, hujan dijangka lebih kerap berlaku semasa peralihan Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut antara Ogos hingga September.
“Ini diharap akan membantu memulihkan paras air di Empangan Timah Tasoh. Kita juga sedang bersedia dengan pelbagai langkah proaktif sekiranya cuaca kering berlanjutan.
” Permohonan untuk operasi pembenihan awan telah dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sedang menunggu kelulusan,” katanya lagi.
Selain itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Exco Hal Ehwal Agama akan menganjurkan solat sunat istisqa’ untuk memohon turunnya hujan.
“Jabatan Pertanian Negeri Perlis dan Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Perlis juga akan menjalankan bancian terhadap petani-petani yang terjejas bagi tujuan penyaluran bantuan Tabung Bencana di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Tindakan-tindakan ini diambil untuk memastikan sektor pertanian di negeri ini mampu bertahan menghadapi cabaran cuaca kering yang sedang melanda,” tambah Razali. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











