Pembangunan ladang hutan patuhi Dasar Perhutanan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Kelantan menjelaskan program pembangunan ladang hutan di kawasan Hutan Simpanan Kekal di Mukim Nenggiri perlu mematuhi Dasar Perhutanan Malaysia 2021.

- Advertisement -

Selain itu pematuhan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2023, Akta Perhutanan Negara, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).

Oleh itu kata jabatan terbabit kenyataan ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim kelulusan tersebut untuk penerokaan hutan agak keterlaluan.

Katanya, situasi sebenar kelulusan tersebut bagi maksud pembangunan ladang hutan.

“Keseluruhan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Mukim Nenggiri ialah 312,054 hektar dan terdapat 12 kawasan HSK yang telah diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Baru-baru ini ADUN BN Galas mendakwa terdapat 54 permohonan penerokaan hutan membabitkan keluasan lebih 13,000 hektar dilulus kerajaan Kelantan sejak 2022 di kawasan Dun Nenggiri.

Kata Syahbuddin penerokaan berkenaan atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong kebanyakan dilakukan di kawasan Ulu Nenggiri, Mukim Bertam.

Jabatan Perhutanan Kelantan juga menjelaskan berdasar laporan kesan alam sekitar (EIA) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar hanya 48 kelulusan yang berada dalam HSK dan enam di luar HSK.

Katanya daripada 48 tersebut hanya tujuh kelulusan seluas 1,532 hektar melibatkan pentadbiran Jajahan Kelantan Barat dan 41 kelulusan seluas 13,110 hektar melibatkan pentadbiran hutan Jajahan Kelantan Selatan.

“Pihak Berkuasa Negeri mempertimbang dan meluluskan permohonan oleh pemain-pemain industri yang berkelayakan berdasarkan Dasar Perhutanan Malaysia 2021 dan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2023.

“Di bawah strategi 5 menggalakkan pembangunan hutan ladang untuk pengeluaran kayu dan bukan kayu hutan ladang berpotensi menjadi sumber utama bekalan bahan mentah untuk industri pada masa akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -