
GUA MUSANG: Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis terhadap penyebaran poster berkaitan dakwaan lebih 54 kelulusan teroka hutan baharu di Gua Musang sejak tahun 2022.
Pada poster itu yang turut memuatkan gambar Menteri Besar juga menyebut 33,000 ekar dipajak keada syarikat yang melibatkan banyak kawasan di ulu Nenggiri. Ia disebar di banyak tempat termasuk di sekolah.
Laporan tersebut dibuat seorang pemimpin Dewan Pemuda PAS Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang petang ini. Hadir sama Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Mohamad Kamal Mohamed.
Katanya poster tersebut dibuat pihak tidak bertanggungjawab untuk memfitnah Menteri Besar dan pimpinan kerajaan negeri dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRK Dun Nenggiri Sabtu ini.
“Fitnah juga turut dimuat naik melalui Tiktok Wan Mahussin Official pada sekitar jam 1 pagi 14 Ogos lepas tujuan mencemar nama baik Menteri Besar dan pimpinan kerajaan negeri.
“Isu-isu berkaitan dengan dakwaan tersebut sudah dijelaskan melalui kenyataan Jabatan Perhutanan pada 6 Ogos 2024,” katanya di sini.
Menurutnya juga Tiktok Wan Mahussin Official memuat video ucapan seorang individu Orang Asli dan teks tulisan ‘Pemuda PAS Beri Arak Kepada Orang Asli’ dengan latar belakang bendera logo PAS.
Kata beliau video tersebut cuba memfitnahkan PAS dengan dakwaan sedemikian.
Sementara itu Mohamad Kamal berkata, dalam diam Umno menyebarkan cetakan ‘risalah memburukkan Kerajaan PAS’ dan mengedarkan kepada pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Nenggiri yang dibuat melalui guru-guru untuk dibawa balik kepada ibu bapa.
Katanya permainan kotor tersebut merupakan taktik kuno dan terdesak.
“Ia menunjukkan Umno semakin dihimpit ketakutan dan menggunakan cara fitnah dalam kempen di saat-saat akhir. Edaran risalah yang tidak bertanggungjawab melalui budak-budak sekolah.
“Edaran risalah sebegini bukan kerja anak jantan, tidak beretika dan salah guna kuasa melibatkan sekolah dan pelajar,” katanya selepas laporan polis dibuat. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











