Tiada penjualan pulau di Terengganu

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa tiada penjualan pulau sekali gus menolak sebarang dakwaan yang beredar mengenai isu tersebut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana agenda rasmi.

“Kalau ada mana-mana individu atau syarikat yang iklan nak jual pulau di Terengganu, bawa dia pergi periksa di hospital mental,” katanya dalam satu hantaran di lama Facebook miliknya, hari ini.

Beliau juga mempersoalkan kenapa pihak terbabit tidak turut mengiklankan laut Terengganu untuk dijual.

Terdahulu, media melaporkan terdapat sebuah pulau untuk dijual di Dungun, Terengganu yang ditawarkan dengan harga RM28 juta.

Kata Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, di perairan Terengganu terdapat 26 buah pulau yang mana 13 daripadanya telah diwartakan sebagai taman laut dan beberapa taman negeri.

“Tak ada satu pun pulau yang dimiliki sepenuhnya oleh mana-mana syarikat atau individu.

“Kalau tanah milik individu atau syarikat, memang ada di beberapa pulau khususnya pulau yang ada penduduk seperti Pulau Perhentian dan Redang.

“Tanah di Terengganu dikategorikan sebagai tanah negeri kecuali yang telah diberi milik kepada individu atau syarikat termasuk juga pulau-pulau. Dengan makna lain, pengurusan tanah di pulau adalah sama sahaja dengan pengurusan tanah di daratan. Semuanya di bawah bidang kuasa negeri,” jelasnya.

Azman berkata, bagi pihak yang berminat untuk memiliki tanah di pulau Terengganu, beliau mencadangkan agar mereka mencari pulau-pulau darat yang ada di negeri ini.

“Cari tanah di Pulau Rusa, Pulau Kerengga, Pulau Kambing, Pulau Bahagia, Pulau Serai, Pulau Skepeng, Pulau Kekabu dan beberapa pulau lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -