
KUALA LUMPUR: Mungkin tiada kalungan emas di leher jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di Olimpik Paris 2024, tetapi ada sesuatu yang lebih mendalam dan abadi terpahat di dadanya, berupa sebuah simbol keberanian yang akan menjadi saksi sepanjang hayatnya.
Penjelasan daripada Public Health Malaysia berkenaan parut yang bukan sekadar tanda fizikal tetapi ia adalah lambang kepada kesakitan, ketabahan dan dedikasi luar biasa yang telah direalisasikan Azizulhasni sepanjang kariernya.
“Beliau disahkan menghidap penyakit jantung yang jarang ditemui, Anomalous Aortic Origin of a Coronary Artery (AAOCA), yang mana saluran darah jantungnya bersambung dengan cara yang tidak normal pada tahun 2022.
“Ini adalah satu keadaan yang serius, satu ancaman yang boleh menghentikan detik-detik jantungnya, terutamanya semasa aktiviti fizikal yang intensif seperti perlumbaan basikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bagai nyawa di hujung tanduk, beliau terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka bagi sebuah langkah yang penuh risiko tetapi keadaannya perlu memperbetulkan masalah jantungnya ini.

Beliau yang digelar sebagai ‘The Pocket Rocketman’ berjaya menjalani pembedahan yang ‘mengancam nyawa’ itu, tidak pernah berpaling ke belakang.
Beliau kini pulih, bangkit, dan kembali ke pangkuan bidang sukan yang menjadi cinta sejatinya itu.
“Tiada siapa yang akan sanggup berjuang kembali di velodrom dalam sejarah perubatan serius dan parut pembedahan di dada akan tetapi Azizul berani melakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Public Health Malaysia dalam kenyataannya berkata, parut berkenaan adalah bukti perjalanan menuju kejayaan penuh dengan duri dan ranjau seseorang.
“Kadang-kadang, meskipun kita telah memberikan segala-galanya, kejayaan masih sukar dicapai kerana faktor-faktor luar yang di luar kawalan, seperti yang berlaku baru-baru ini,” ungkap kenyataan tersebut.
Terdahulu, Azizul telah disingkirkan daripada pusingan pertama keirin di Olimpik Paris 2024 kerana dikesan melepasi pacer bersama dua finalis edisi lalu, Matthew Glaetzer dan Jair Tjon En Fa selain Ota Kaiya, Rayan Helal serta Jeffrey Hoogland.
Dalam penyingkiran tersebut, beliau yang mulakan saingan di kedudukan keenam, cuba membuat gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar daripada trek.
Walau bagaimanapun, beliau tetap jaguh negara dan beliau telah memberikan yang terbaik untuk negara kita, dan walaupun emas tidak menjadi miliknya, parut di dadanya telah memberi inspirasi kepada jutaan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/8/2024











