
AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka walaupun telah menyediakan peruntukan besar sebagai usaha menangani masalah banjir, namun kejadian banjir besar tetap berlaku dengan terbaru kejadian di Parlimen Masjid Tanah.
Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ini menimbulkan banyak persoalan terhadap perkara sebenarnya yang telah berlaku terhadap perancangan-perancangan kerajaan itu.
“Sejumlah RM8.1 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri, ditambah dengan peruntukan Kerajaan Pusat sejumlah RM329.8 juta untuk projek tebatan banjir di setiap daerah Negeri Melaka.
“Tambahan RM72.8 juta lagi diluluskan oleh Kerajaan Pusat untuk tebatan banjir Sungai Putat. Malah Kerajaan Pusat sebelum ini telah meluluskan sejumlah RM603.7 juta (lagi).
“(Iaitu) untuk projek menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal sebagai kolam dwi-fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air negeri,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Melaka berkata demikian dalam satu kenyataan dimuatnaik di laman Facebook rasminya hari ini sebagai mengulas kejadian banjir kilat di Parlimen Masjid Tanah semalam.
Kata Dr Yadzil, semua yang berlaku kini menimbul pertanyaan, kenapa dengan adanya peruntukan besar, namun masih belum dapat atasi masalah kritikal ini.
“Setakat mana projek tebatan banjir ini telah berjalan? Apakah peruntukan yang diumumkan itu, telah diterima dan dimanfaatkan dengan baik agar projek berjalan lancar?
“Apakah pemantauan oleh agensi terbabit telah dibuat untuk memastikan pembinaan tebatan banjir tidak menjadi punca banjir?” soalnya.
Tambah beliau, sebelum perancangan sesuatu pembangunan yang melibatkan perbelanjaan besar, sudah pasti akan adanya libat urus bersama jabatan terbabit.
“Apakah projek tebatan banjir atau segala usaha untuk menangani banjir ini gagal? Apakah agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah masing-masing berperanan?
“(Iaitu) dalam mengatasi masalah banjir yang melibatkan sungai, saliran serta longkang dan faktor-faktor lain yang diberi peruntukan yang secukupnya?” soalnya.
Jelas beliau, kejadian banjir kilat yang berlaku di Parlimen Masjid Tanah itu bukan kali pertama berlaku di Melaka di mana sejak April tahun ini sahaja, sudah empat kali banjir besar berlaku di beberapa kawasan di Melaka.
“Ramai mangsa yang dipindahkan serta banyak harta benda yang rosak. Lebih memalukan berlaku di saat Melaka sedang menyambut Tahun Melawat Melaka 2024.
“Saya melihat kerajaan negeri tidak serius menangani masalah banjir, malah lebih sibuk ‘melancong’ mencari pelabur, mengejar pembangunan sehingga gagal menyelesaikan masalah fundamental rakyat,” tegasnya.
Tambahnya lagi, sumbangan sebanyak RM300 yang diumumkan Kerajaan Negeri kepada mangsa-mangsa banjir bukan penyelesaian sebenar terhadap masalah itu.
“Rentetan bencana banjir kilat yang melanda Masjid Tanah sejak semalam, saya amat simpati dengan nasib mangsa banjir yang terlibat, malah difahamkan banjir ini adalah yang terburuk pernah berlaku, sekali gus melumpuhkan Bandar Masjid Tanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024











