Perlis fokus tingkat pelaburan sektor strategik

- Advertisement -

KANGAR: Negeri Perlis berpotensi besar untuk menarik pelaburan dalam beberapa sektor strategik seperti pelancongan, industri, pertanian, serta kuari dan perlombongan.

- Advertisement -

Selain itu, sektor logistik, pendidikan dan latihan, teknologi hijau, serta perikanan juga dikenal pasti sebagai bidang yang berpotensi untuk dimajukan.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkata demikian semasa menerima menghadap Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin di Fairy Le Phenomenal Café, di sini baru-baru ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah suami Dr Adina, Mahzan Abdul Samad dan anaknya, Muhammad Aqeel Rasikh Mahzan serta Ketua Pegawai Eksekutif Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn Bhd, Datuk Nellsen Young.

Tuanku Syed Faizuddin berharap kunjungan Duta Besar Malaysia ke Jerman ke negeri ini akan dapat membantu memperkenalkan peluang serta potensi pelaburan dan pelancongan negeri Perlis di Jerman.

Cadangan untuk mengadakan promosi masakan Perlis di Berlin dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis turut dipertimbangkan sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan budaya dan kekayaan kulinari negeri ini di peringkat antarabangsa.

Dalam lawatan dua hari di Perlis, Dr Adina turut berkesempatan melawat Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Superfruits Valley di Chuping, dan kawasan komersial baru Kangar Jaya.

Beliau juga mengadakan kunjungan sembah menghadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Dengan pelbagai inisiatif itu, Perlis dilihat terus mengorak langkah dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -