
AYER KEROH: Jenama-jenama yang berkaitan denyan ‘industri dosa’ seperti arak dan judi tidak sewajarnya untuk diberi ruang dalam menaja apa-apa pun program di sekolah atau institusi pendidikan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Kintan Man berkata, perkara tersebut boleh menyebabkan pelajar-pelajar yang mentah dan di bawah umur terdoktrin ke arah aktiviti tidak bermoral itu.
“Umum memahami bahawa di sekolahlah, terutama pelajar sekolah rendah, tempat untuk mendidik dan menyemai nilai-nilai murni tanpa dicemari dengan perkara-perkara yang memudaratkan seperti arak.
“Mendoktrin minda pelajar terutama di peringkat sekolah rendah bahawa arak adalah baik dan dipuji serta disanjung adalah satu perkara yang tersasar jauh dari Falsafah Pendidikan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan jenama sebuah syarikat arak yang terlibat dalam program kutipan dana sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) melibatkan seorang Timbalan Menteri baru-baru ini.
Perkara itu menjadi polemik apabila ada tokoh-tokoh pemimpin parti kerajaan yang menyokong perkara tersebut walaupun ia telah terbukti salah berdasarkan pekeliling Kementerian Pendidikan.
“Instituisi pendidikan adalah institusi yang utama sebagai platform bagi mendidik anak bangsa merentasi kaum agar Falsafah Pendidikan Negara mencapai matlamat yang telah digariskan.
“Kelestarian membina sebuah masyarakat yang tinggi nilai murni serta keperibadian yang mulia, bakal mencorakkan negara Malaysia di masa akan datang,” katanya.
Tambah Kintan, tindakan menormalisasikan arak seolah-olah bukan sesuatu yang memudaratkan adalah sesuatu sangat ironi dan mengundang kepada kemusnahan akhlak.
Kata beliau, ia juga menjurus kepada keruntuhan moral, kepincangan peribadi dan juga kemudaratan pada kesihatan pelajar, malah tidak selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.
“Perkara ini mesti dihentikan segera. Apa pun alasan untuk merasionalkan perkara ini sangat tidak boleh diterima. Ia juga bukan soal kaum, tetapi ia soal moral.
“Saya percaya tidak ada siapa yang berani bercakap dengan yakin bahawa arak itu sesuatu yang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











