
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru para peniaga Pasar Payang 1 supaya menjaga adab dan kebersihan.
“Jaga adab dan kebersihan kerana kalian ibarat ‘duta pelancongan’ bagi Negeri Terengganu.
“Negeri cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik. Insya-Allah,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman sosial beliau.
Pasar Payang 1 mula dibuka kepada orang ramai sejak 1 Ogos lalu.
Untuk fasa pertama, ujarnya antara kedai yang telah beroperasi ialah kedai emas, kedai cenderamata, kedai pelbagai iaitu kedai kasut, selipar dan kedai alatan dapur.
“Moga dipermudahkan urusan para peniaga,” ujar Dr Samsuri yang juga ADUN Ru Rendang.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, untuk lot kedai lain sedang dalam proses pemilihan setelah melalui temuduga.
Katanya, dijangka segmen kedai lain seperti pakaian akan mula beroperasi pada 1 September nanti.
Menurutnya, jumlah pemohon untuk menyewa kedai di Pasar Payang menunjukkan sambutan yang sangat baik dengan hampir 1,000 permohonan diterima.
Beliau yang melawat pasar itu Khamis lalu turut mengingatkan para peniaga menjaga imej dan kebersihan pasar. – HARAKAHDAILY 4/8/2024











