
KUALA LUMPUR: Gelaran diktator yang diberikan oleh bekas Pengerusi BERSIH, Ambiga Sreenavasan kepada kerajaan Madani nampaknya sukar untuk ditepis dan dinafi, demikian kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad.
“Ia turut dipersetujui oleh bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim dengan melihat kepada sekatan kebebasan bersuara serta kekerapan kerajaan menggunakan pihak berkuasa untuk mendakwa orang ramai.
“Lebih mencetuskan kemarahan kerana janji ke-17 dalam Tawaran Harapan PRU15 jelas menyatakan tentang menjamin kebebasan media dan hak bersuara.
“Malangnya apabila berkuasa, mereka mengugut rakyat dengan radio car, menggunakan MCMC, akta hasutan serta menyiasat kakitangan awam yang kritik kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Memetik laporan setengah tahun (Julai-Disember 2023) TikTok, beliau berkata, Malaysia merupakan negara paling banyak permintaan dari kerajaan untuk menurunkan atau menghadkan bahan atau akaun pengguna.
Katanya, sebanyak 1,862 bahan atau akaun yang diminta untuk disekat oleh kerajaan dan hasilnya, Malaysia jatuh 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024.
Tambahnya, kerajaan berdalih dan menggunakan hujah bahawa segala keputusan dan tindakan mereka adalah untuk mengawal 3R dan menghentikan jenayah siber.
Jika begitu, ujarnya kenapa hantaran yang meminta penjelasan tentang pemberian kontrak Kerajaan Selangor kepada syarikat suami menteri daripada DAP, Hannah Yeoh dipadam.
“Kenapa video Datuk Dr. Radzi Jidin berkenaan kejatuhan nilai ringgit dipadam? Kenapa hampir 20 video di TikTok YAB Dr. Samsuri dipadam? Sedangkan semua ini tiada perkaitan dengan 3R atau jenayah siber.
“Lalu di mana tindakan tegas kerajaan ketika Lim Guan Eng membuat ucapan provokasi 3R yang jelas sengaja menyebarkan Islamofobia?” ujar Zurk mempertikaikan tindakan kerajaan Madani.
Lebih hina katanya, apabila Menteri Komunikasi sendiri memberikan maklumat yang salah kepada rakyat dan pengamal media turut dikawal seolah-olah semua pihak perlu menjadi lidah kerajaan.
Sekarang pula ujarnya lagi, kerajaan perkenalkan pula pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet.
“Jika Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman dan lain-lain boleh disalahguna, maka tidak mustahil penguatkuasaan ini akan turut menjadi alat politik kerajaan.
“Rakyat kini tidak lagi mendapat akses kepada maklumat yang benar. Jika bukan diktator, apakah gelaran yang lebih sesuai untuk diberi?” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2024











