Pulai juarai keseluruhan Sukan PASTI Johor

- Advertisement -

SIMPANG RENGGAM: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Pulai dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Negeri Johor tahun 2024.

- Advertisement -

Keputusan tersebut berdasarkan jumlah mata tertinggi yang diperolehi mereka apabila PASTI Pulai memperolehi keputusan Naib Johan bagi kedua-dua Kategori Bola Sepak dan Bola Jaring.

Sementara itu PASTI Kawasan Kluang dinobatkan sebagai Johan bagi kategori bola sepak, manakala Naib Johan pula jatuh kepada Kawasan Pulai dan tempat ketiga milik Kawasan Bakri, sementara tempat keempat ialah Kawasan Kulai.

Bagi kategori bola jaring pula, PASTI Kawasan Kulai telah dinobatkan sebagai Johan, manakala Naib Johan jatuh kepada Kawasan Pulai dan tempat ketiga milik Kawasan Bakri, sementara tempat keempat ialah Kawasan Kluang.

Pemain terbaik bagi kategori bola sepak pula jatuh kepada Muhammad Adam Fadhil Adha daripada PASTI Kawasan Kluang, manakala bagi kategori bola jaring digondol oleh goal defender (DF) bagi pasukan PASTI Kawasan Kulai, Cahaya Ayu Dahliya Mahatir.

Juara keseluruhan membawa pulang piala dan wang tunai bernilai RM800, manakala Johan bagi kategori bola sepak dan bola jaring masing-masing membawa pulang medal emas dan wang tunai bernilai RM500.

Sukan tersebut melibatkan 24 kontinjen PASTI kawasan dari seluruh Negeri Johor yang berentap bagi merangkul juara keseluruhan bagi peringkat negeri yang bakal mewakili PASTI negeri ke peringkat kebangsaan.

Perasmian program yang berlangsung di Padang Penjara Simpang Renggam, di sini, pagi tadi itu telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz.

Turut mencuri tumpuan ialah persembahan daripada Perguruan Seni Silat Gerak Kilas turut disajikan kepada semua tetamu yang hadir sebaik sahaja selesai ucapan perasmian.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian itu ialah
Timbalan Penguasa Padang Penjara Simpang Renggam, Siti Noor Zunnurain Arbain dan Yang Dipertua PAS Kawasan Simpang Renggam, Ustaz Muhammad Taufik Tubi.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan PASTI negeri, Mohd Fairuz Alias dan Pengarah Kejohanan, Muhammad Amirul Solehin Ahmad Sobri. – HARAKAHDAILY 3/8/2024

- Advertisement -