Hakisan pantai melarat ke Sungai Tuang pula

- Advertisement -

MASJID TANAH: Selepas berlaku beberapa kejadian hakisan di Pantai Puteri, Tangga Batu, kini kejadian hakisan seumpama berlaku pula dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah melibatkan Pantai Kampung Sungai Tuang.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, kejadian yang berlaku itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan pemegang taruh di sepanjang pantai itu.

“Rakyat yang tinggal di pantai, peniaga-peniaga, pengusaha chalet semakin runsing sekarang ni yang kita tengok semakin menjadi-jadi. Mereka ini semua pemegang taruh yang terkesan dengan apa yang berlaku.

“Baru-baru ini kita boleh lihat perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, YB Bakri Jamaluddin kejadian hakisan pantai di Pantai Puteri. Sekarang di Pantai Sungai Tuang pula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu ditemui dalam satu tinjauan beliau bersama penduduk tempatan berkaitan dengan isu itu hasil daripada aduan orang ramai terhadap kejadian tersebut.

Tambah beliau, kerajaan negeri harus menyiasat sama ada kejadian hakisan itu ada kaitan dengan aktiviti penambakan laut secara mega yang sedang dilakukan kerajaan di perairan Melaka.

“Ia boleh jadi salah satu kemungkinan mengapa hakisan ini berlaku. Jadi kita minta supaya kerajaan negeri siasat dengan teliti. Jika benar maka sesuatu tindakan harus dilakukan.

“Kalau kita boleh tengok runtuhan struktur ni memang sangat mengerikan. Saya tak boleh bayangkan jika semasa ia runtuh ketika itu ada orang di situ. Tentu akan berlaku kecederaan atau kemalangan jiwa,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, pihaknya akan terus menyuarakan perkara tersebut selagi kejadian-kejadian seperti itu masih berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat yang terlibat.

“Sebenarnya kami PAS Negeri Melaka memang memandang serius perkara ini yang kita lihat semakin memburuk. Malah sebelum ini pun kita telah menjangkakan perkara ini akan berlaku.

“Kerana itu kita nak supaya kerajaan selesaikan segera masalah ini. Kita nak tengok ada penyelesaian dan keadaan jadi lebih baik, bukan lebih buruk,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk kampung yang turut sama dalam tinjauan itu, Ismail Taridi, 63, berkata, kejadian itu berlaku secara beransur-ansur dengan yang terburuk sekitar hari Rabu minggu lepas.

“Ombak naik lebih dari biasa. Kerosakan tu berlaku sedikit demi sedikit. Masa tu saya nampak kenapa ada banyak kerusi dalam laut.

“Rupanya daripada chalet-chalet yang runtuh. Ada sesetengah kawasan yang kerajaan telah buat benteng penahan ombak tetapi rosak juga,” ujarnya yang juga merupakan Siak bagi Masjid Aminin Sungai Tuang.

Tambah beliau, tembok penahan sekitar masjid juga ada yang rosak dan runtuh walaupun belum lagi menjejaskan struktur masjid.

“Kalau ombak kuat lagi boleh jadi struktur masjid boleh terjejas. Cuma sekarang ini mujur kerana bangunan masjid itu kedudukannya agak ke tengah, jauh sedikit dari tebing.

“Aduan pun kita dah buat kepada YB, tetapi setakat ini sepanjang pengetahuan saya belum nampak lagi mana-mana agensi kerajaan seperti JKR atau Pejabat Daerah turun,” ujarnya.

Tinjauan wartawan Harakah mendapati dua buah chalet berhampiran Masjid Aminin adalah antara paling teruk terjejas melibatkan runtuhan struktur yang ketara.

Sisa-sisa runtuhan yang terdiri daripada batu-batu atau serpihan besi turut dilihat tersebar di sekitar pantai boleh membahayakan pengunjung jika tidak menyedari kejadian itu. – HARAKAHDAILY 3/8/2024

- Advertisement -