UMK wujudkan studio berteknologi tinggi

- Advertisement -

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah apabila berjaya mewujudkan studio berteknologi tinggi yang berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan pengajaran.

- Advertisement -

Pada masa yang sama studio tersebut sebagai penyediaan perkhidmatan pengeluaran industri kreatif terbaik di Pantai Timur.

Dikenali sebagai Digital Advanced Media Studio (DAMS)@Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), ia membolehkan perkhidmatan pengeluaran industri kreatif seperti studio rakaman muzik, multimedia, fotografi, produksi video dan animasi dapat dihasilkan di situ.

Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak berkata, studio DAMS bukan sekadar tempat untuk menghasilkan muzik, tetapi juga sebagai pusat pembangunan bakat baru, bertukar renung fikir dan inspirasi.

Katanya, ia juga sebagai platform untuk kolaborasi yang lebih erat di kalangan pemuzik, penerbit, pengamal media dan semua yang terlibat dalam dunia seni kreatif.

Beliau menyifatkan, dengan adanya studio ini akan membuka lebih banyak peluang penjanaan pendapatan.

Pada masa yang sama tambahnya, ia menjambatani jalinan kerjasama dengan penggiat seni tanah air, terutamanya bakat-bakat muda untuk mengejar impian mereka dan memajukan industri seni negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hannan Medispa Sdn. Bhd, Dr. Mohd Hannan Mohd Yusof dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), UMK.

Pelantikan itu berkuat kuasa bermula 29 Julai 2024 hingga 28 Julai 2025.

Pelantikan Dr Hannan sebagai Profesor Adjung berdasarkan kepada sumbangan serta pengalaman luas selama 11 tahun dalam menguruskan 113 cawangan Hannan Medispa di seluruh Malaysia.

Majlis penyerahan surat lantikan Profesor Adjung disempurnakan Prof. Dr. Razli pada majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori, UMK Bachok, kelmarin. – HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -