MPKB-BRI giat naik taraf Taman Telok Puteri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI) sedang giat menaik taraf Taman Telok Puteri dengan cadangan pembinaan tiga komponen utama pembangunan melibatkan kos RM500,000.

- Advertisement -

Tiga komponen utama pembangunan tersebut dataran awam melibatkan tanah dua ekar, Taman Hutan Mini (tiga ekar) dan Taman Ekstrem (3.13 ekar). Di sebelah Taman Telok Puteri pula terletak Taman Keamanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, Taman Telok Putri dahulunya dikenali sebagai Taman Fursan, konsep taman berkuda.

Tetapi tambahnya, memandangkan konsep taman seperti tidak lagi sesuai dan terbiar, maka kawasan itu dibangunkan semula untuk kegunaan yang lebih inklusif untuk penduduk sekitar Padang Tembak.

Menurutnya, taman itu juga menjadi pelengkap kepada Taman Orkid yang terkenal kepada umum khususnya ketika Pesta Flora.

“Sehingga kelmarin didapati sebahagian besar komponen utama projek dalam Taman Telok Puteri seperti Dataran Awam, Pentas Utama, Plastering Box, Kiosk telah siap sepenuhnya. Cuma tinggal lagi beberapa bahagian lagi belum siap untuk penanaman pokok landskap serta lampu limpah,” katanya pada catatan Facebooknya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, MPKB-BRI telah mengangkat permohonan tambahan untuk pembinaan surau pada kerajaan negeri.

Tambahnya, pembinaan Taman Ekstrem sedang giat dijalankan untuk aktiviti sukan basikal ekstrem sebagai contohnya, BMX bagi memenuhi keperluan anak-anak muda dan golongan remaja.

“Taman Hutan Mini pula sedang dibina di dalamnya Taman Permainan Kanak-Kanak, Wakaf, Peralatan Out Door Gym serta laluan pejalan kaki ke jalan Haji Nik Abdullah Arshad dengan trek larian untuk riadah.

“Insya-Allah, dengan siapnya Taman Awam Telok Puteri ini, penduduk sekitar Parlimen Pengkalan Chepa akan mempunyai taman rekreasi yang lengkap dan selesa untuk program komuniti dan keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -