SUHAKAM tidak berpijak pada realiti – DUPP

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menolak pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang menganggap hukuman mati terhadap enam  tertuduh dalam kes bunuh pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu sebagai tidak efektif dan memerlukan proses pemulihan yang sebenar.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad  Yahaya berkata, DUPP berpandangan kenyataan SUHAKAM tersebut tidak berpijak pada realiti, bahkan terikut-ikut gerakan memansuhkan hukuman mati di sesetengah negara Barat. 

- Advertisement -

“Apabila jenayah di sana (Barat) semakin kejam, maka mereka mulai rasa tersepit untuk kembali menggunapakai hukuman mati.

“Dalam Islam, meletakkan suatu pada tempatnya adalah maksud sebenar kepada sebuah keadilan. 

“Hukuman mati dalam kes bunuh ini terkandung dalam hukuman Qisas iaitu proses balasan balik (retaliation).

“Jika memenuhi syarat beban pembuktian, maka ia adalah keadilan sebenar kepada si mangsa, bahkan juga kepada tertuduh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu tambah beliau, bahawa dalam Islam juga tertakluk hukuman diyat iaitu bentuk pampasan kepada keluarga mangsa, malah, meskipun dengan tegasnya dengan pelaksanaan hukuman bunuh ini, Islam juga menyediakan ruang kepada keluarga si mangsa untuk memaafkan si pesalah. 

Kedua-dua perkara ini menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, adalah prinsip perundangan Islam yang kurang diberikan penekanan dalam lunas perundangan sedia ada.

“Alasan SUHAKAM bahawa proses pemulihan lebih utama kepada si pesalah sebenarnya tersasar daripada maksudnya yang sebenar. 

“Hukuman mati adalah proses ‘memulihkan’ masyarakat di luar supaya tidak mengulangi jenayah yang sama menepati prinsip cegah rintang dalam sesuatu hukuman. 

“Maka, hukuman mati bagi kesalahan berat dengan beban pembuktian yang sempurna adalah wajar dan memenuhi neraca keadilan. 

“DUPP menasihati SUHAKAM supaya lebih teliti dalam mengeluarkan pandangan serta tidak semata-mata berkiblatkan Barat dalam memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -