Kes jenayah seksual kanak-kanak dilepas membimbangkan

Senator Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah kes yang melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang terpaksa dilepaskan kerana masalah teknikal amat membimbangkan.

- Advertisement -

Senator Musoddak Ahmad berkata, pelbagai pindaan dan reformasi terhadap perundangan perlu dilakukan bagi memastikan keadilan kepada kanak-kanak dapat diangkat mengikut neraca yang sebenarnya.

Kata beliau, pindaan yang dibuat terhadap Akta Kesalahan Seksual Kepada Kanak-kanak dan beberapa akta lagi amat penting bagi membolehkan kesaksian kanak-kanak untuk memberikan keterangan di mahkamah dapat diperkukuhkan.

“Walaupun kertas pindaan ini nipis dan ringkas, tapi saya percaya pindaan yang dibuat ini besar kesannya bagi mengangkat suara kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.

“Pindaan beberapa akta ini bagi membolehkan kesaksian kanak-kanak untuk memberikan keterangan di mahkamah.

“Isu ini adalah sangat mustahak bagi memastikan suatu keadilan yang sempurna kepada si mangsa dalam memastikan haknya tidak diabaikan dan sentiasa terbela,” ujarnya semasa membahaskan Pindaan Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Kepada Kanak-kanak di Dewan Negara, hari ini.

Jelas beliau, semua pihak harus berpegang kepada prinsip bahawa seorang kanak-kanak berada di bawah tanggungjawab negara sehinggalah dia mencapai umur dewasa.

“Malah sebagaimana yang dimaklumkan lebih 50 peratus kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dilepaskan.

“Jadi pelbagai pindaan dan reformasi terhadap perundangan hadir bagi memastikan keadilan kepada kanak-kanak tadi dapat diangkat mengikut neraca yang sebenarnya,” katanya.

Dalam perbahasan itu, beliau turut membangkitkan beberapa persoalan terhadap kerajaan yang terkait dengan pindaan yang dilakukan.

Antaranya, beliau meminta penjelasan kerajaan tentang  apakah pattern kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang dilepaskan atau DNAA di mahkamah ketika ini.

“Apakah ada remidi lain yang boleh dilakukan oleh pihak polis mahupun pihak pendakwa raya bagi memastikan si pelaku tidak terlepas begitu sahaja?

“Juga saya ingin mengetahui bagi kes-kes yang melibatkan orang kenamaan atau bersifat high profile. Apakah langkah bagi memastikan saksi dalam kes-kes ini termasuklah si mangsa dilindungi sepenuhnya?” soal beliau.

Beliau juga meminta penjelasan kerajaan tentang apakah garis panduan pengendalian kes seksual terhadap kanak-kanak mematuhi tempoh 12 bulan sebagaimana yang ditetapkan.

“Ini kerana kita sangat bimbangkan situasi melengah-lengahkan perbicaraan yang boleh mengganggu prosiding mahkamah serta menjejaskan situasi semasa dalam memberikan keterangannya kepada mahkamah.

“Saya juga ingin mengetahui jika kementerian mempunyai pendekatan lain yang dirancang bagi memastikan perkara ini terjamin,” katanya.

Tegasnya, ia bagi mengelakkan kemungkinan ada pihak lain khususnya dalam kes ‘high profile’ mengambil kesempatan di atas kelompongan perundangan yang lain sehingga membolehkan kes-kes ini terpaksa dilepaskan oleh mahkamah pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -