UniMAP terima pelajar autisme sulung

Amir Asyraf (duduk) dan ibu bapanya bergambar bersama Naib Canselor UniMAP dan pengurusan universiti.
- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menonjolkan komitmennya dalam menyokong pelajar berkeperluan khas dengan menerima kemasukan dua pelajar autisme sebagai pelajar baharu diploma di institusi itu.

- Advertisement -

Amir Asyraf Mohd Azmir, 18, dan Akhmal Aiman Mohd Kamal, 18, merupakan pelajar autisme pertama yang mendaftar di UniMAP, masing-masing berasal dari Perlis dan Kedah.

Kedua-dua pelajar tersebut ditawarkan tempat dalam program Diploma Kejuruteraan Bahan.

Amir Asyraf, didiagnos dengan sindrom Asperger pada usia 16 tahun dan Akhmal Aiman pula mempunyai autisme tahap 1 serta ADHD telah hadir bersama ibu bapa mereka untuk pendaftaran bersama lebih 700 pelajar baharu diploma UniMAP.

Dr Haslizawati Hashim, ibu kepada Amir Asyraf yang juga pegawai perubatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) berkata, mereka memilih UniMAP kerana konsepnya yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

“Asyraf memilih untuk menyambung pengajian diploma, sebagai ibu bapa, kami menghormati serta menyokong penuh keputusan ini. Sebagai orang Perlis, kami merasa bertuah dengan peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Rozita Khaldi, ibu kepada Akhmal Aiman berkata, mereka memilih UniMAP selepas mendapat penerangan menyeluruh dari wakil universiti semasa Karnival Pengajian Tinggi di Kulim.

“Selain mesra OKU, kami tertarik dengan kadar kebolehpasaran graduan UniMAP. Kami berharap Akhmal akan berjaya dalam pengajiannya dan mendapat tawaran kerja di syarikat multinasional selepas bergraduasi,” ujarnya.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli menyatakan kegembiraannya dengan peningkatan kemasukan pelajar baharu diploma ke UniMAP.

Seramai 748 pelajar mendaftar untuk sidang akademik 2024/2025 berbanding 402 pelajar pada tahun lepas.

“Peningkatan ini disebabkan oleh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan TVET. Pelajar diploma UniMAP berada di landasan yang betul kerana mereka akan diberi latihan yang berkaitan.

“Sekali gus memenuhi keperluan industri, terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI),” katanya lagi.

Zaliman juga menambah bahawa ibu bapa tidak perlu risau lagi kerana segala keperluan pelajar sudah tersedia di UniMAP.

“Pelajar perlu memastikan pelajaran diberi keutamaan dan aktif dalam bidang ko-kurikulum serta pembangunan sahsiah.

“InsyaAllah, pelajar UniMAP pasti berjaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -