TNB rakan strategik bantu jayakan Kedah 2035

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sahaja syarikat utiliti terkemuka di Malaysia malah rakan strategik dalam menjayakan dasar kerajaan negeri termasuk Pelan Pembangunan Kedah 2035 ‘Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni’.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, TNB juga telah menunjukkan khidmat terbaik di Kedah bagi membantu pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini.

“Saya berbangga dapat menjadikan TNB sebagai rakan strategik dan rakan perniagaan kepada kerajaan negeri. Melalui kerjasama yang erat ini, kita dapat meningkatkan hasil negeri serta memperkukuhkan ekonomi Kedah.

“Inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, menarik lebih ramai pelabur ke Kedah dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“TNB juga antara pemberi sumbangan dalam memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berkualiti, yang merupakan asas penting kepada pembangunan sosio-ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai ucapan sempena program Town Hall: Smart Strategic Business Partnership, anjuran TNB Kedah di sebuah hotel di sini semalam.

Sebagai rakan strategik katanya lagi, TNB juga diyakini dalam membantu kerajaan negeri menyediakan infrastruktur tenaga yang mantap dan mesra alam.

“(Ini) memandangkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 tidak hanya tidak hanya menumpukan kepada pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya mengambil kira kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

“Ini bersesuaian dengan objektif Teras Kedah 2035, khususnya dalam tiga teras utama iaitu Kemakmuran Ekonomi, Kecemerlangan Infrastruktur dan Utiliti serta Kemampanan Alam Sekitar,” tambah beliau.

Dalam pada itu kata Yusoff, dengan pelbagai inisiatif hijau dan teknologi inovatif, TNB dilihat mampu menjadi pembekal terunggul bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa berikutan komited syarikat.

ADUN Kuala Nerang itu juga berharap kerjasama erat antara TNB dan kerajaan negeri akan terus kukuh, seterusnya berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -