Bacaan Yaasiin, solat hajat permudah urusan MB

- Advertisement -

ALOR SETAR: Seluruh PAS Kawasan di negeri mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin bagi memohon ke hadrat Allah agar urusan pembicaraan kes melibatkan Menteri Besar berjalan selamat dan lancar.

- Advertisement -

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan menjalani perbicaraan kes beliau di Mahkamah Tinggi, Shah Alam yang bermula hari ini.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Salim Mahmood berkata, pihak PAS Kawasan diarah untuk mengadakan majlis berkenaan, sementara pemilihan tempat diserahkan kepada kawasan masing-masing.

“Untuk peringkat PAS Negeri, kita adakan di Pondok Tahfiz, Raudhatul Jannah, Bandar Baru Beris, Sik. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan,” ujarnya mengulas majlis itu kelmarin.

Berikutan itu juga, majlis Penerangan Ketetapan Dasar Negeri Kedah Sifar Premis Judi diadakan di setiap PAS Kawasan, bermula jam 9:00, selepas majlis bacaan Yaasin dan solat hajat selesai.

Majlis yang menampilkan penceramah dari kalangan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen ataupun ADUN menyasarkan kehadiran daripada kalangan ahli serta penyokong PAS kawasan masing-masing.

Sementara itu, di Pondok Tahfiz, Raudhatul Jannah, menampilkan ADUN    Kupang, Brig Jen (B) Dato’ Ustaz Najmi Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Zulkifli Yahaya serta Hamdi Ishak mewakili LUHAM.

Majlis peringkat negeri itu juga dihadiri sebahagian Jawatankuasa Harian PAS Kedah, Exco Kerajaan Negeri dan ADUN-ADUN, manakala sebahagianya memberi tumpuan kepada majlis penerangan di peringkat PAS kawasan. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -