Naik taraf balapan di Stadium Muar

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) meminta penjelasan mengenai cadangan tambahan menaik taraf balapan di Stadium Muar.

- Advertisement -

Beliau menekankan bahawa walaupun skop kerja tersebut mungkin tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini, adalah penting untuk memasukkannya dalam perancangan tahun depan.

“Saya rasa saudara pun tahu bahawa balapan itu merupakan kegunaan awam, khususnya untuk larian, latihan dan juga menjadi tempat latihan bagi sekolah-sekolah berdekatan yang tidak mempunyai padang sendiri dan terpaksa menggunakan balapan di Stadium Muar.

“Adakah skop ini akan dimasukkan pada tahun yang akan datang,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalan asalnya, Saddiq meminta penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan mengenai pelan naik taraf balapan di Stadium Muar yang rosak akibat pembinaan hab anak muda.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya sudah pun membuat permohonan berkaitan menaik taraf balapan tersebut.

“Tidak lengkap kompleks sukan tanpa balapan, untuk menaik taraf balapan tersebut, kami telah mengambil maklum dan memohon peruntukan sebanyak RM15,697,920,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -