Budaya ‘Islam Kelantan’ menyebar ke Asia Timur Laut

Profesor Dato’ Mohamad Abu Bakar
- Advertisement -

KOTA BHARU: Negeri Kelantan yang mempunyai sejarahnya tersendiri dan terkenal dengan masyarakat dan penganut Islam yang ramai telah memberikan impak serta menjadi penyumbang ke arah pembumian nilai-nilai Islam terhadap budaya di rantau Asia Timur Laut.

- Advertisement -

Demikian penemuan mantan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin (KSMZA), Profesor Dato’ Mohamad Abu Bakar yang memberikan contoh pengajian pondok di Kelantan yang semakin pesat berkembang sehingga dapat memajukan konteks pengertian Islam di rantau tersebut.

“Islam menerusi pondok-pondok ini (di Kelantan) bukan sahaja memajukan Islam dalam konteks orang Kelantan itu sendiri tetapi pondok-pondok ini didatangi mereka daripada Timur Laut.

“Orang Kemboja, orang Terengganu dan orang Pahang yang telah ‘berpondok’ di kawasan ini yang kemudiannya menjadi saluran yang membawa nilai-nilai Islam sebagai guru-guru pondok sekembalinya mereka ke tempat-tempat asal mereka,” katanya pada program Kelantan Membangun Bersama Islam International Conference 2024 (KelMIC ’24) di sebuah hotel di sini hari ini.

Prof Mohamad yang membentang kertas konvensyen pertama bertajuk Kelantan: The Islamic Civilization And Legacy Of The Archipelago turut menjelaskan menerusi kedudukan mereka sebagai guru agama di tempat asal dan menyebarkan agama Islam adalah bertepatan sebagaimana mereka pernah menjadi pelajar-pelajar yang menimba ilmu di pondok-pondok di Kelantan pada waktu itu.

Jelasnya, ada segelintir pihak yang menerima ilmu agama di pondok Kelantan juga telah membawa budaya ‘Islam Kelantan’ dalam dunia politik di negara asalnya sehinggakan budaya mereka banyak dipengaruhi dan menyerupai cara serta adat dari negeri Serambi Mekah ini.

“Aspek kedua budaya ‘Islam Kelantan’ yang mengubah budaya Asia Timur Laut ialah pergerakan manusia Kelantan sendiri ke luar Kelantan.

“Mereka bukan sahaja ke Kedah untuk menjadi petani, mereka juga membuka tanah di Jerantut, di Pahang dengan begitu ramai serta ke Kemaman dan Besut di Terengganu.

“Pergerakan ini serentak telah membawa nilai-nilai ‘kekelantanannya’ sama ada dari budayanya ataupun kehidupan Islamnya dan sebagainya,” katanya. – UPNK

- Advertisement -