
NIBONG TEBAL: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) bekerja keras membetulkan fitnah jahat yang dilemparkan musuh PAS kepada golongan bukan-Islam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap.
Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, pihaknya telah menjalankan program-program kempen pada PRK ini terutamanya dalam kalangan masyarakat India.
“Perancangan DHPP di Sungai Bakap adalah untuk memastikan kita menerangkan dan kita ‘meranapkan’ segala fitnah yang ditaburkan kepada PAS.
“Kita nak mengajar mereka supaya kalau kita sekarang ingin menikmati sebuah masyarakat dan negeri yang berkat, inklusif dan adil, kita wajib memastikan Islam memimpin perpaduan. Itu penting,” katanya.
Pihaknya juga menurut Dr Bala, telah merayu mereka untuk ramai-ramai keluar mengundi bagi memberi signal kepada Perdana Menteri bahawa dia memimpin satu kerajaan yang gagal dan tidak harus berada dalam persada politik Malaysia.
“Ada perubahan sikap pada pengundi India sebab mereka memang tak nak undi PH, tetapi mereka juga was-was dengan PERIKATAN NASIONAL sebab fitnah-fitnah yang taburkan oleh oleh musuh-musuh kita.
“Tetapi tanggungjawab DHPP untuk memastikan dari sekarang sampai PRU-16 kita buat penerangan supaya mereka memahami bahawa kalau kita ingin menikmati perpaduan syumul dalam erti kata sebenar, mereka semuanya wajib mengundi PAS dan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui dalam program Perlawanan Persahabatan Kabaddi bersama masyarakat India sewaktu ditemui di Padang Flat Mutiara Jaya, Simpang Ampat, di sini hari ini.
Jelasnya, sepanjang pihaknya turun berkempen bertemu dengan pengundi, mereka telah menerima berbagai-bagai rungutan kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat.
“Antara keluhan-keluhan rakyat yang kita dengar di Sungai Bakap ini bila kita turun berkempen ialah, yang pertama soal kenaikan harga diesel dan harga barang-barang. Kemudian masalah air.
“Bagi komuniti India di sini ialah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang sepatutnya siap pada tahun 2024 ini, tetapi belum siap-siap lagi,” katanya.
Tegasnya, keluhan-keluhan tersebut perlu diterjemahkan oleh penduduk Sungai Bakap dalam undi pada 6 Julai ini bagi memberi satu mesej yang jelas dapat kepada Kerajaan Madani.
Program Perlawanan Persahabatan Kabaddi tersebut turut menampilkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL.
Juga Pengerusi DHPP Pusat, Balasubramaniam Nachiappan dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, selain pimpinan BERSATU dan GERAKAN.
Dua pasukan iaitu ‘Team MB Kedah’ dan ‘Sungai Bakap Indian Youth’ berentap dalam perlawanan Kabaddi yang mirip permainan ‘galah panjang’ dalam budaya Melayu itu. – HARAKAHDAILY 5/7/2024











