PH bimbang peratusan keluar mengundi kaum Cina merosot

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) bimbang kemerosotan peratusan keluar mengundi kaum Cina Sabtu ini boleh menjejaskan peluang parti itu untuk merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

- Advertisement -

Peluang itu terjejas sekiranya peratusan keluar pengundi kaum Cina dan India kurang daripada 60 peratus.

Jangkaan itu berdasar simulasi dibuat Institut Darul Ihsan (IDE) dengan menyasar jumlah keluar mengundi kaum Cina 82 peratus, India (77 peratus) dan Melayu (36 peratus).

IDE turut mendedah kajian rambang daripada 786 responden menjangka PERIKATAN NASIONAL (PN) akan memperolehi 63 peratus pengundi Melayu, India (18 peratus) dan Cina (8 peratus).

Pengerusinya, Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman dilapor berkata, PH boleh menang dengan majoriti lebih 2,400 undi sekiranya peratus keluar mengundi Sabtu ini lebih 60 peratus.

DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih di mana orang Melayu sebanyak 59.28 peratus, Cina (22.65 peratus) dan India (17.35 peratus).

Pilihan Raya Kecil (PRK) itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PN akibat komplikasi dalam perut. 

Pada PRK tersebut PN diwakili Abidin Ismail, manakala PH pula menampilkan Dr Joohari Ariffin.

Bagaimanapun, Pengarah Strategi Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, berdasarkan tinjauan di lokasi dijangka peratusan keluar mengundi bukan Melayu berkurang.

Katanya, kaum Cina dan India yang terbabit dengan perniagaan meluahkan mereka terkesan teruk dengan kenaikan mendadak harga diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter pada 10 Jun lepas.

“Paling ketara pemilik kilang dan perusahaan dalam kalangan kaum Cina. Mereka mulai mempamerkan sikap berbeza terhadap PH berbanding Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023.

“Mereka dilihat lebih cenderung tidak keluar mengundi sebagai memprotes terhadap kerajaan Madani kerana peningkatan harga diesel menjejaskan perniagaan mereka,” katanya di sini.

Menurutnya juga jentera pilihan raya PN dan PAS memastikan pengundi Melayu terutamanya golongan veteran keluar mengundi pada Sabtu ini.

Kata beliau, usaha turut dilakukan PN bagi memastikan pengundi yang tinggal di luar kawasan pulang mengundi.

“Sebab itu saya lihat ada asas kebimbangan IDE kerana reaksi pengundi kaum Cina sekarang berbeza kerana tekanan hidup di era Madani sekarang,” ujarnya.

Begitu juga katanya, peratusan keluar mengundi kaum India juga dijangka merosot ekoran kempen agresif dijalankan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Malah Pengerusi URIMAI, P Ramasamy turut menjangka peratusan keluar mengundi kaum India pada PRK Sungai Bakap Sabtu ini kecil.

Menurutnya, peratus keluar mengundi kaum India di Sungai Bakap kurang daripada 40 peratus memandangkan kebanyakan mereka tinggal di DUN Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -