Kaum India Sungai Bakap protes calon PH?

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) menjangka peratusan keluar mengundi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap Sabtu ini kecil.

- Advertisement -

Pengerusinya P Ramasamy berkata, beliau menjangka peratus keluar mengundi kaum India di Sungai Bakap kurang daripada 40 peratus.

Katanya, kebanyakan kaum India yang tinggal di DUN Sungai Bakap merupakan golongan pekerja yang terpaksa mencari rezeki pada hari pengundian berlangsung.

“Tidak dinafikan juga ada undi protes kaum India terhadap calon PH yang mana secara tidak langsung akan memihak kepada PN.

“Ia mencerminkan trend terutamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas dan PRK Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.

“Sokongan kaum India terhadap gabungan pimpinan PH dijangka akan terus merosot pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Kaum India membentuk 17.4 peratus daripada jumlah pengundi di DUN Sungai Bakap, manakala Melayu (59 peratus) dan Cina (22.5 peratus).

P Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kemungkinan besar majoriti pengundi Melayu akan kekal dengan PN dan kaum Cina bersama PH.

Namun, kata beliau kaum India mungkin tidak mengundi sama ada PN atau PH.

“Terdapat banyak sebab bagi menjelaskan situasi tersebut termasuk masyarakat India tidak dihormati kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.

“Anwar sebelum ini menyebut kaum India tidak seharusnya cemburu dengan bantuan kerajaan kepada masyarakat Bumiputera.

“Di Pulau Pinang, sekolah Tamil Sungai Bakap masih belum dibina walaupun banyak aduan kepada Menteri Pendidikan Fadlina Sidek,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa kaum Tamil India dimalukan dengan pelantikan seorang bukan Tamil mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri II selepas PRN pada 2023.

Selain itu terdapat pembersihan kakitangan India di TechDome Pulau Pinang dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang di mana mereka yang pernah rapat dengannya ketika bertugas sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurutnya juga sebuah Kafe Waterfall berusia lebih 100 tahun milik seorang usahawan India disingkirkan pihak berkuasa di Pulau Pinang.

“Penempatan tradisional kaum India di Perai dan Sungai Kecil mungkin terjejas sekiranya pangsapuri bertingkat dibina.

“Kaum India di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain didiskriminasi dan dipinggirkan oleh dasar dan langkah kerajaan pimpinan PH,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -