Projek pembangunan lonjak ekonomi Pasir Puteh

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Penduduk di jajahan ini akan memperolehi limpahan ekonomi apabila siap sepenuhnya Kompleks Sukan Madinatul Riadhah di Selising yang dijangka memulakan pembinaan Oktober hadapan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, di Pasir Puteh juga akan dibangunkan Taman Industri Tok Bali di kawasan seluas 218 ekar.

Selain itu projek Tok Bali Integrated Fisheries Park dan Tok Bali Supply Base di Tok Bali.

“Semua pihak termasuk warga Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) perlu memberi sokongan untuk menjayakan pembangunan tersebut.

“Begitu juga program kebersihan bagi melahirkan MDPP indah dan ceria perlu diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya pada pada program Jelajah Pihak Berkuasa Tempatan 2024 ke Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) hari ini.

Sempena program itu beliau mendengar taklimat berkaitan prestasi kewangan, kutipan hasil, program pembangunan, perancangan strategik dan perbelanjaan MDPP disampaikan Yang Dipertuanya Mohd Roshdi Ismail.

Hadir sama Timbalan Exco Abdul Rahman Yunus, ADUN Limbongan Nur Asilah Mohamed Zin dan ADUN Semerak Norsham Sulaiman.

Hilmi juga berkata, MDPP berusaha untuk meningkatkan tahap kebersihan di kawasan pentadbirannya.

Sempena program jelajah itu Hilmi turut menyampaikan replika cek peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM496,103 untuk projek Kesejahteraan Rakyat dan RM156,700 pembelian tong sampah. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -