
NIBONG TEBAL: Penduduk di Mukim 5 Sungai Bakap menganggap permohonan maaf Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkaitan isu bekalan air dianggap sudah terlambat.
Menurut penduduk mereka tidak pernah lupa apa yang kerajaan negeri buat untuk penduduk Mukim 5 Sungai Bakap.
“Dah terlambat nak minta maaf sekarang,” kata seorang penduduk Amar Haikal pada catatan di laman sosialnya.
Baru-baru ini, pada ceramah perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Padang Lalang, Simpang Ampat Kon Yeow dilapor memohon maaf kepada penduduk Sungai Bakap yang berdepan masalah air sejak lebih enam tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri dan Persekutuan menyenaraikan beberapa projek, namun perkara tersebut mengambil masa panjang untuk disiapkan.
Amar juga berkata, masalah air di kampung tersebut tidak selesai kerana mendakwa kerajaan negeri mahu menjaga kilang-kilang yang terdapat Batu Kawan.
Katanya, isu bekalan air dihadapi penduduk di Mukim 5 Sungai Bakap terpaksa dihadapi setiap hari.
“Kami tidak akan lupa dahulu ada jenazah di Taman Seruling Mas Sungai Bakap tidak boleh dimandikan sebab air tidak ada sampai terpaksa minta tolong Bomba.
“Masa tu semua yang ada kuasa diam. Bila penduduk panggil YB turun langsung tidak dilayan. Sekarang baru terhegeh-hegeh nak tunjuk muka kononnya buat kerja,” katanya.
Menurutnya juga penduduk terhutang budi kepada bekas Adun Almarhum Nor Zamri Latiff pernah mengetengah isu bekalan air di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Katanya, rintihan penduduk Mukim 5 dibawa arwah di DUN pada pada 17 Nov 2023.
“Hanya tiga bulan selepas arwah angkat sumpah sebagai wakil rakyat DUN Sungai Bakap isu tersebut diangkat kepada pengetahuan kerajaan negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024











