Negara hilang hala tuju ekonomi, rakyat dibebankan

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan hari ini tidak mempunyai hala tuju jelas, terutamanya dalam bidang ekonomi hingga membebankan rakyat.

- Advertisement -

Katanya, daya saing Malaysia telah menurun tujuh anak tangga, menunjukkan keadaan ekonomi negara yang semakin merosot dan berada di tahap memalukan.

Menurutnya lagi, ini adalah bukti pengurusan negara yang semakin hari semakin caca merba akibat Kerajaan PH-BN yang kononnya dikatakan mahu membawa perubahan.

“Namun, janji-janji yang mereka buat tidak ditepati dan kerajaan tidak berjaya melaksanakan perubahan yang dijanjikan. Perkara utama yang menjadi pemikiran rakyat adalah kos sara hidup semakin meningkat.

“Antara isu yang paling dekat di hati rakyat adalah mencari rezeki, makan dan menghantar anak ke sekolah,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Perdana PN di UDM Puteri Gunong, di sini malam tadi.

Beliau turut mengkritik kerajaan mengenai isu bekalan dan harga beras yang merupakan keperluan asasi rakyat Malaysia kerana gagal menyelesaikan masalah tersebut sehingga kini.

Muhyiddin menegaskan bahawa isu ini adalah persoalan besar kerana semua rakyat Malaysia, sama ada miskin atau kaya, bergantung kepada beras sebagai makanan asas.

Beliau juga mengkritik kerajaan kerana masih ‘mengkaji dengan teliti’ isu harga beras setelah beberapa bulan, sedangkan rakyat memerlukan tindakan segera menyelesaikan masalah tersebut. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -