
NIBONG TEBAL: Sungai Bakap memerlukan wakil rakyat yang berani dan akan berjuang mempertahankan hak rakyat serta bersuara terhadap permasalahan penduduk ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Pengerusi Pertubuhan Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Che’guBard sehubungan itu dengan yakin dan percaya bahawa Abidin Ismail atau Abang Abidin adalah individu paling sesuai.
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.20 DUN Sungai Bakap itu katanya, akan meneruskan usaha untuk mengangkat pelbagai isu terutamanya masalah bekalan air, banjir dan pencemaran sungai oleh najis khinzir.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU berucap dalam Ceramah Kelompok PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.20 DUN Sungai Bakap di hadapan Masjid As-Solihin, Kepala Gajah, UDM Puteri Gunong, di sini semalam.
Tegas beliau, Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut adalah untuk memilih wakil rakyat, sama sekali bukannya untuk atau akan menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang mahupun Perdana Menteri Malaysia bertukar.
“(Wakil rakyat dahulu) isu kepentingan rakyat tak bercakap, sebab apa? Sebab mulut
tersumbat dedak-dedak yang sangat nikmat sedapnya. Tetapi arwah (Nor) Zamri (Latiff) bangkit (bersuara di Sidang DUN Pulau Pinang) dan akan disambung oleh Abang Abidin,” ujarnya.
Menurut beliau, banyak isu tempatan berlaku di Sungai Bakap adalah masalah-masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama tanpa ditangani dengan sebaiknya sehinggalah ia diperjuangkan penuh kesungguhan oleh Arwah Abang Zam.
Aktivis masyarakat ini turut mengajak pengundi untuk menjadikan PRK tersebut sebagai medan menghantar isyarat terhadap pemimpin yang banyak berbohong kepada rakyat dalam pelbagai isu dan janji antaranya terkini berkaitan kenaikan harga diesel. – HARAKAHDAILY 27/6/2024











