
KUALA LUMPUR: Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2021 dan 2022 kelihatan janggal jika jawatan pengerusinya masih kosong.
Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, hampir setahun tiada tindakan kerajaan bagi membuat lantikan baharu menyebabkan operasi dan fungsi suruhanjaya itu terjejas.
“jadi kegagalan melantik seorang pengerusi baharu boleh menyebabkan kelewatan dalam pengambilan kakitangan dan keputusan penting dalam pelaksanan pogram Suhakam.
“Dan sebagai badan yang memainkan peranan penting mempromosikan dan melindungi hak asasi ini pengerusi berpengalaman adalah kritikal pastikan kelancaran kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi tahun 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Dato’ Dr Rahmat Mohamad mengumumkan meletak jawatannya sebagai Pengerusi Suhakam pada Ogos tahun lalu.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan Rahmat sebelum dilantik menerajui agensi itu bermula 2022 sehingga 2025.
Che Mohamad Zulkifly berharap kerajaan perlu memberi perhatian serius selain dapat mempercepatkan pelantikan Pengerusi Suhakam yang telah dikosongkan hampir setahun lebih itu.
“Kelewatan ini menimbulkan masalah proses pelantikan pengerusi jadi kesan jangka panjang terhadap kredibiliti dan keberkesanan Suhakam di Malaysia kita ini boleh dipertikaikan.
“Harap lantik ini dipercepatkan tanpa ada campur tangan luar dan saya ingin saran di sini bahawa Suhakam perlu memperluaskan lagi maksudnya kepada hak asasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024











