
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia diminta mengeluarkan apa-apa pekeliling di bawah Seksyen 33 Akta Ibu bagi memberi kuasa budi bicara supaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengarahkan pegawai atau kakitangan turun ke lapangan melihat rumah majikan ataupun pekerja yang kemalangan walaupun Seksyen 33 tidak dipinda.
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, PERKESO perlu melihat sendiri keadaan pekerja yang mengalami kemalangan di luar pejabat dan dijangkakan ramai nasib pekerja turut mengalami situasi sedemikian hanya disebabkan tafsiran semata-mata oleh pihak berkenaan.
“Jadi dalam hal ini, budi bicara pertimbangan yang adil dan saksama demi kebajikan pekerja harus diberi perhatian oleh PERKESO,” jelas beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurutnya, ini berikutan Seksyen 33 Akta Ibu memberikan kuasa mutlak kepada PERKESO sama ada untuk meluluskan tuntutan atau menolak tuntutan yang dikemukakan oleh seseorang pekerja dengan alasan-alasan yang dikemukakan.
Katanya, berdasarkan pengalaman di kawasannya terdapat seorang pekerja dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke rumah majikannya selepas menerima arahan untuk mengambil fail untuk dibawa ke pejabat pada hari yang sama.
Namun menurutnya, pekerja tersebut mengalami kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan hilang keilatan dalam keadaan pergi ke rumah majikan dan belum lagi sampai ke pejabat pada hari yang sama.
“Dia dimasukkan ke hospital dalam satu tempoh masa yang lama berlaku kecederaan di bahagian kepala. Hilang penglihatan, sebahagian kabur. Apabila dikemukakan tuntutan kepada PERKESO, majikan dipanggil untuk membuat pengesahan.
“Diminta surat pelantikan pekerjaan, rekod bayaran caruman pada setiap bulan, membuat lakaran kejadian yang berlaku pada hari yang sama, repot polis, semua lengkap. Akhirnya tuntutan itu ditolak. Sedangkan pekerja itu terlantar sakit hilang keilatan kekal.
“Hanya dengan alasan yang diberikan iaitu pekerja itu tidak pergi ke pejabat. Kalau dia pergi ke pejabat, berlaku keilatan kekal, PERKESO bayar. Ini dia pergi ke, ke rumah majikan, seolah-olah menganggap rumah majikan itu bukan premis pekerjaan, sedangkan dia menerima arahan daripada majikan untuk datang ambil fail dan buat tindakan. Akhirnya, ini yang menjadi isu,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 25/6/2024











