
JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Johor Bahru (DPPJB) merakamkan ucapan terima kasih buat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) atas operasi ‘Op Mabuk’ yang dijalankan di seluruh daerah di negeri Johor.
Ketua Penerangan DPPJB, Arif Ainuddin Mohd Razali berkata, operasi berkenaan menyaksikan seramai 40 individu telah ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Dari satu sudut yang lain, keadaan ini menggambarkan keadaan yang kritikal dan wajar mendapat perhatian yang serius oleh kerajaan terkini, bahkan oleh masyarakat umumnya.
“Memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja mengancam keselamatan semua pengguna jalan raya, malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa serta kecederaan serius. Isu ini memerlukan perhatian segera dan tindakan yang tegas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau turut berkongsi beberapa kes kemalangan disebabkan oleh pemandu mabuk di Johor, antaranya yang terbaharu pada Mei lalu apabila atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias dilanggar dan diseret sejauh 600 meter dan telah mengalami kecederaan serius termasuk retak bahu dan tulang pinggul sewaktu kejadian di Lebuhraya EDL.
Menurutnya, bagi menangani masalah ini, beberapa langkah proaktif perlu diambil dan dilaksanakan segera oleh kementerian mahupun exco yang berkaitan, antaranya dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.
“Selain itu, langkah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang perlu diambil dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri perlu menjalankan pemeriksaan jalan raya secara berkala,” ujarnya.
Tambah Arif, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu mengehadkan waktu penjualan alkohol di kedai serbaneka dan memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat bagi penjualan alkohol kepada individu yang menunjukkan tanda-tanda mabuk.
“Kami juga menyeru kepada pengusaha rangkaian kedai serbaneka, kedai serbaguna dan pasaraya mini untuk mengambil langkah yang sama seperti FamilyMart Malaysia yang menghentikan penjualan minuman alkohol di semua rangkaian mereka.
“Dengan komitmen dan kerjasama daripada semua termasuk pihak berkuasa, masyarakat dan pemilik perniagaan, usaha menghentikan pemanduan dalam keadaan mabuk dan meningkatkan keselamatan jalan raya di Johor pasti boleh dilaksanakan.
“Keutamaan harus diberikan kepada perlindungan nyawa dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Terdahulu, polis Johor dilaporkan telah menahan 40 individu terdiri daripada 37 warga tempatan dan tiga warga asing berumur 18 hingga 60 tahun dalam Op Mabuk di seluruh daerah di negeri ini sejak 16 Jun hingga pagi 17 Jun 2024.
Ketua Polis Johor CP M Kumar dalam kenyataan media pada 17 Jun lepas berkata, 37 lelaki dan tiga wanita itu ditahan dalam operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang dua tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024











