Golongan bekerja sendiri perlu diberi perlindungan

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia perlu memikirkan cara bagi memberikan perlindungan kepada golongan pekerja yang tidak mempunyai majikan sepertimana para petani yang mengusahakan bendang sendiri.

- Advertisement -

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, golongan itu seperti penanam kelapa sawit dan getah yang bekerja sendiri juga terdedah kepada risiko kemalangan, keselamatan dan akibat daripada kemalangan itu.

“Jadi saya harap pihak kementerian yang yang mana PERKESO adalah subsidiary (anak syarikatnya) perlu memberi perhatian supaya kita nak bela semua pekerja-pekerja di Malaysia. Itulah baru dinamakan kerajaan rakyat.

“Yang memerintah memberi kemudahan dan kesenangan kepada rakyat, bukan menyusahkan rakyat dengan menaikkan minyak diesel dan sebagainya melibatkan rantaian sektor semua akan terlibat akibat daripada kenaikan harga minyak diesel ini,” kata beliau.

Awang mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu menurutnya, kementerian itu juga perlu memandang serius berkenaan tuntutan palsu supaya tidak diambil kesempatan untuk menipu hak orang-orang yang ditimpa musibah.

“Dalam konteks ini saya mendapatkan jumlah pemalsuan tuntutan faedah yang berlaku. Itu juga berlaku. Tuntutan palsu. Saya ada banyak lagi (mendapat aduan) tuntutan palsu yang dibuat. Jadi terus justify dan clarify berkenaan dengan tuntutan palsu ini.

“Jadi tuntutan palsu ini kita kena perincikan sungguh-sungguh. Jadi kita harap salah guna ataupun manipulasi atau salah laku harus dikenakan hukuman sewajarnya agar menjadi teladan serta menaikkan imej PERKESO sebagai institusi berintegriti tinggi, telus supaya mereka dapat membantu orang yang benar-benar dalam kesusahan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -