
NIBONG TEBAL: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.20 DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail atau Abang Abidin menerima dukungan petugas PN yang datang daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Petugas dari PAS Kawasan Dungun, Rafidah Ramli, 60, malah berkongsi iltizam mewakili rakan-rakan petugas lain menyatakan bahawa mereka bersedia menghadapi pilihan raya di mana sahaja seluruh Malaysia.
Menurut beliau, kesiapsiagaan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka dalam memastikan kelancaran setiap proses pesta demokrasi itu berlangsung bagi pihak PN.
“Gelombang pertama dari Dungun dan Besut telah turun membantu di sini selama lima hari. Kami pulang, akan ada gelombang dari PAS Kawasan lain pula,” katanya.
Menurut Rafidah, sebagai ahli PAS, pihaknya sentiasa bersedia jika diarahkan untuk turun bertugas pilihan raya di mana-mana negeri termasuk ke Sabah dan Sarawak sekalipun.
“Memang kami sentiasa bersedia untuk bertugas di mana-mana PRK, termasuk Sabah dan Sarawak. Bila diarahkan, kawasan akan hantar beberapa orang, biasanya sekitar tujuh hingga lapan orang (sekali gelombang),” tambah Rafidah.
Rafidah berkongsi pengalaman terlibat dalam PRK sudah berbelas kali selama hampir 30 tahun terlibat aktif bersama PAS di mana kesiapsiagaan dan kesungguhan itu adalah sebahagian daripada tugas mereka dalam memastikan kemenangan calon PN.
“Kami sentiasa bersedia bila diarahkan dan ini adalah tanggungjawab kami sebagai petugas dari Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024











