Diesel: Tutup silap kerajaan, tuduh nelayan

- Advertisement -

SEREMBAN: Tuduhan bahawa nelayan menjual diesel bersubsidi kepada bot-bot asing oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli disifatkan sebagai usaha untuk menutup kesilapan kerajaan memansuhkan subsidi diesel.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Mahfuz Roslan berkata, ini disebabkan pemansuhan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 itu telah menimbulkan kemarahan rakyat akibat kesan berantai yang mula dirasai ramai.

“Mengenai apa yang Rafizi sebut nelayan seludup diesel ni, ia satu tuduhan yang tak berasas dan tuduhan yang jahat kepada nelayan-nelayan di Malaysia.

“Saya sendiri seorang nelayan dan ramai kawan-kawan saya nelayan di Port Dickson ni. Kalau kami di sini nelayan taklah sebanyak seperti tempat-tempat yang lain.

“Subsidi ni kita guna sebaik mungkin kerana itulah antara nak menampung pendapatan. Maknanya jualan hasil ikan tadi tu adalah lebih sikit keuntungannya,” ujarnya.

Tambah beliau, subsidi tersebut tidak sampai membolehkan bermewah dengan hasil yang diperolehi, namun ia adalah untuk menyara diri sendiri dan keluarga atau membantu sahabat handai kesusahan.

“Ada pun yang dikatakan jual diesel subsidi ni ni satu pertuduhan yang tak baik. Mungkin yang menjual ni bukan nelayan yang kecil atau nelayan-nelayan yang kategori pertengahan ni.

“Kalau dia nak buat tuduhan pastikan bawa bukti. Jangan nak melepaskan diri untuk mempertahankan keputusan PM atau keputusan kerajaan yang menarik subsidi diesel ni.

“Pelik kerajaan sekarang ni. Alasan-alasan yang diberikan ni semata-mata nak menjaga periuk nasi sendiri sedangkan rakyat di bawah ni terkesan tertindas. Jadi guna alasan-alasan yang tak logik yang terlintas di fikiran,” ujarnya.

Katanya lagi, adalah sesuatu pelik apabila kerajaan menyatakan bahawa tindakan menghapuskan subsidi diesel untuk mengatasi isu nelayan yang dikatakan menjual diesel bersubsidi kepada bot-bot asing.

“Macam mana kerajaan boleh kata hapus subsidi untuk elak nelayan jual diesel subsidi, sedangkan nelayan masih lagi menerima diesel bersubsidi?” soalnya.

Katanya, tuduhan tersebut memang satu penghinaan pada para nelayan, sedangkan hakikatnya untuk mendapatkan kemudahan bahan api bersubsidi oleh nelayan bukan sesuatu yang mudah dan terpaksa melalui prosedur ketat.

Tambah beliau, sekiranya benar perkara itu berlaku, kerajaan seharusnya menyiasat perkara tersebut secara teliti.

“Kerajaan kena cerdik, kena bijak. Kerajaan ada agensi-agensi penguatkuasaan, ada APMM, Jabatan Laut ada Polis Marin, jadi semua tu boleh diguna pakai. Kalau tidak apa tujuannya?” soalnya.

Katanya lagi, kebanyakan nelayan-nelayan bot kecil sebenarnya menggunakan enjin petrol dan diesel pula digunakan oleh bot-bot nelayan yang bersaiz besar.

“Sebab itu jika nak kata perkara itu berlaku ia mungkin melibatkan nelayan-nelayan besar yang menggunakan bot-bot besar yang menggunakan diesel tu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -