
GUA MUSANG: PAS Gua Musang menyambut baik keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan DUN Nenggiri kosong berikutan ADUN melanggar arahan parti.
Yang Dipertua PAS Kawasan, Azman Ahmad berkata, pengumuman tersebut membolehkan rakyat membuat pemilihan semula melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas mandat diberikan Mohd Azizi Abu Naim dikhianati.
“Ini amat bertepatan kerana mandat yang diberikan oleh rakyat sebelum ini dikhianati maka kita akan pulangkan semula mandat itu kepada rakyat melalui pilihan raya.
“Rakyat akan memilih wakil rakyat baru di Nenggiri. Rakyat berhak memberi mandat baru kepada calon yang akan bertanding nanti,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pagi tadi, Mohd Amar mengisytiharkan DUN Nenggiri kosong selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada ADUN Nenggiri pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.
Notis tersebut memaklumkan ADUN terbabit hilang keahlian Bersatu dan menyebabkan berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.
Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang pada tahun lepas mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama lima lagi Ahli Parlimen daripada Bersatu.
Bersatu baru-baru ini menyerahkan notis terhenti serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti terbabit.
Bersatu turut menghantar notis pemakluman kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Kelantan mengenai kedudukan itu.
Oleh itu, Azman yakin Perikatan Nasional (PN) akan mengekalkan Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 19/6/2024











