‘Apakah dalam isu ini menyentuh soal 3R?’

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Pendidikan dilihat kurang tangkas menangani bantahan keras Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang berhubung pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, Menteri Pendidikan dilihat lembik seolah-olah membiarkan sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar berkenaan dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Katanya, tindakan PIBG itu juga seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan yang sangat jelas dalam soal memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini.

“Apakah dalam isu ini menyentuh soal 3R? Rakyat memandang serius dalam hal ini, kerana ada pihak yang semakin berani mempersoalkan agenda dan polisi kerajaan yang sudah tentu ada kebaikan bersama.

“Apa masalahnya mengenai arahan kementerian yang hanya ingin menguatkuasakan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini?

“Apa yang dikatakan kekeliruan dan ketidakseimbangan psikologi dalam kalangan pelajar? Rasanya yang keliru adalah pihak yang masih tidak menyedari bahawa bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan dan muhibbah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Tegas Razali, jangan biarkan individu atau kelompok meremehkan sistem pendidikan kebangsaan sekali gus tidak membuka ruang kepada pihak berkenaan membangkitkan soal aliran sekolah.

“Perlu diingatkan seharusnya Bahasa Melayu dimartabatkan, bahasa-bahasa lain terus terpelihara,” katanya yang juga Ahli Dewan Negara.

Pada Rabu, media melaporkan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 SMJK dan SMC di Pulau Pinang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -