
KUALA TERENGGANU: TDM Berhad komited meneruskan penajaan sebanyak RM100,000 bagi membantu pelajar cemerlang B40 menerusi biasiswa Young Talent Scholarship Programme (YT-TI).
Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam usaha menyokong pembangunan dalam pendidikan seiring dengan misi syarikat bagi menzahirkan model korporat dan bertepatan dengan status patuh syariah.
“Bagi memastikan keteguhan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat, kami menyokong rangka kerja ESG yang memberi impak positif dalam perniagaan dan komuniti tempat kami beroperasi.
“Usaha ini sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), iaitu matlamat SDG 4 yang memberi tumpuan kepada menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada graduan, dan matlamat SDG 8, yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan Majlis Menandatangani Perjanjian Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) 2023 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. (Foto atas)
Majlis tersebut dirasmi dan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Razali Che Ani.
Menurut Najman, TDM sentiasa menyokong usaha serta program kerajaan negeri terutamanya yang melibatkan pemantapan pendidikan.
“Ini dapat dilihat melalui inisiatif Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 melalui pelan tindakan teras strategik 1 iaitu pemerkasaan pelaksanaan syariah dan pemantapan pendidikan,” katanya.
Katanya, TDM bersama-sama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di bawah Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI) adalah pelengkap dalam penyediaan dana kepada program penajaan Yayasan Terengganu (YT) yang sedia ada.
“Yayasan Terengganu berperanan sebagai pelaksanaan program mengikut skop kerja secara profesional, mengikut piawaian amalan industri.
“Kerjasama strategik dengan Yayasan Terengganu sekali gus menyokong komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan industri pendidikan dan pertumbuhan modal insan sekali gus dapat mengetengah bakat yang berpotensi dengan pelbagai kemahiran luar biasa di kalangan rakyat Terengganu,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sepuluh orang pelajar yang telah berjaya mendapat biaisiwa pada hari ini. – HARAKAHDAILY 5/6/2024











