
KOTA BHARU: Aplikasi WhatsApp dan Telegram pada nombor telefon Dato’ Kamarudin Md Nor digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri itu berkata, kejadian tersebut berlaku selepas menerima pautan sebelum menyedari aplikasi itu tidak boleh digunakan.
Beliau berkata, susulan kejadian itu ramai kalangan kenalan dan ahli keluarganya menerima pesanan kononnya mahu meminjam sejumlah wang, disertai nombor akaun individu tidak dikenali.
“Dengan dukacita, saya rasa amat terkilan dengan apa yang sedang terjadi sekarang kerana nombor telefon peribadi saya telah digodam (hack) melalui platform WhatsApp dan Telegram.
“Saya dapati penggodam telah mengganggu sanak saudara, sahabat dan kenalan saya dengan meminta sejumlah wang untuk dipinjam dan dipindahkan ke akaun saya serta membuat jemputan ke majlis perkahwinan.
“Jadi saya mohon abaikan dan tidak memberi maklum balas kepada penggodam tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Difahamkan, ini kali kes pertama talian telefon anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan digodam.
Pada 2019, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai agar memastikan aplikasi dalam telefon sentiasa dikemas kini bagi mengelak maklumat peribadi digodam.
SKMM berkata, pihaknya sentiasa menerima aduan mengenai insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi.
Modus operandi penyamaran individu berpengaruh serta cuba memanipulasi mangsa memuat turun serta memasang aplikasi pemesejan segera seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya dalam telefon mangsa. – HARAKAHDAILY 30/5/2024











