
KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM11.5 juta untuk membaik pulih pasar-pasar awam yang agak usang di Kelantan sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah bagaimanapun berkata, semua permohonan membaik pulih pasar awam sedang dinilai sebelum kerja-kerja penyelenggaran dijalankan.
Menurutnya, setakat ini peruntukan bagi baik pulih Pasar Besar Siti Khadijah diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM1 juta manakala peruntukan RM500,000 lagi dilulus kerajaan negeri untuk tujuan yang sama.
“Antara pasar awam yang akan dibaik pulih, Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh yang memerlukan dana RM3 juta dan Pasar Besar Kuala Krai.
“Pasar di Kuala Krai terletak berhampiran dengan kawasan hakisan tanah. Kita menunggu persetujuan peniaga sama ada mencari tapak baharu atau kekal di tapak asal,” katanya pada media pada Program Gotong-Royong Perdana 2.0 di Pasar Awam Bersepadu, Wakaf Che Yeh, di sini.
Hilmi yang juga ADUN Guchil berkata, sekiranya peniaga mahu kekal di tempat yang sama, kawasan yang terhakis perlu dibaik pulih bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Menurutnya juga pihaknya akan mengenal pasti keperluan untuk membaik pulih pasar awam sebelum perkara itu diangkat ke peringkat kementerian. – HARAKAHDAILY 27/5/2024











