Keputusan cemerlang UPKK 2023 SRITI: 32% raih 8A

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 832 daripada 2,600 calon Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 bersamaan 32.92 peratus, telah memperoleh keputusan Cemerlang (A) bagi semua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Sementara, 409 calon atau 15.73% pula telah berjaya memperoleh pencapaian 7A serta 275 orang bersamaan 11.58% berjaya mencatatkan pencapaian 6A.

- Advertisement -

Pemuda PAS Malaysia berkata, bagi sesi akademik 2023, sebanyak 103 cawangan SRITI di seluruh Malaysia telah berjaya menjalankan UPKK dengan baik melibatkan jumlah 2,600 orang murid-murid.

“Rekod ini mencatatkan semua SRITI di 13 negeri termasuk wilayah Persekutuan telah berjaya menjalankan UPKK,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia Pusat mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan pengurusan SRITI, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid atas keputusan UPKK2023 yang cukup cemerlang itu menyaksikan lebih 60 peratus calon UPKK 2023 SRITI memperoleh keputusan 6A ke atas.

“Alhamdulillah bagi sesi akademik 2023, sebanyak 101 cawangan SRITI di seluruh Malaysia telah berjaya menjalankan UPKK dengan baik melibatkan jumlah 2,600 orang murid-murid.

“Tahniah sekali lagi diucapkan kepada seluruh pihak yang terlibat,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, sudah pasti kejayaan yang cemerlang ini tidak akan datang melainkan dengan usaha dan jerih perih pelbagai pihak khususnya pengurusan SRITI dan guru-guru dalam menyediakan kualiti pendidikan yang terbaik buat murid-murid.

“Ini adalah salah satu bukti kukuh akan komitmen dan keseriusan PAS dalam melaksanakan agenda pendidikan dan memandaikan ummah.

“Kepada masyarakat dan para ibu bapa yang terus memberikan kepercayaan kepada institusi SRITI, jutaan penghargaan kami ucapkan.

“Insya-Allah, SRITI menyediakan pendidikan yang terbaik khususnya dalam kefahaman agama dan kurikulum yang berkualiti adalah fokus kami demi masyarakat, agama dan negara,” kata kenyataan itu.

SRITI merupakan salah satu entiti di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia Pusat yang menyediakan pendidikan bersepadu yang menggabungkan empat kurikulum utama iaitu Pra Tahfiz, Akademik, KAFA dan KAFFAH. 

Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, SRITI kini mempunyai hampir 155 cawangan di seluruh Malaysia. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -