
ALOR SETAR: Peluang menjadi tetamu Allah dengan menunaikan ibadat haji jangan disia-siakan sebaliknya perbanyakkan amalan sama ada wajib mahupun sunat sebagai tanda mensyukuri nikmat yang dikurniakan.
Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bertitah demikian pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji Malaysia, di Hotel Raia, Alor Setar, di sini hari ini.
Baginda juga dalam titah itu mengharapkan agar ibadat haji yang bakal dilaksanakan nanti akan meningkatkan lagi keimanan serta ketakwaan di sisi Allah SWT.
“Beta berharap kepada para jemaah haji, agar bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ke semua rukun dan wajib haji seperti yang telah dipelajari semasa menghadiri kursus-kursus yang telah diaturkan,” titah Baginda.
Titah Baginda lagi, antara hikmah melaksanakan ibadat haji ialah dapat melahirkan rasa kesyukuran dan kehambaan kepada Sang Pencipta, justeru mengharapkan agar memperbanyakkan doa sepanjang berada di Tanah Suci tersebut.
“Berdoalah agar Allah SWT terus memelihara kesejahteraan Negara Malaysia, dan dijauhkan dari segala bencana serta malapetaka tidak diingini. Dalam pada itu juga harus bersyukur kerana Tabung Haji sentiasa mengambil berat akan kebajikan para jemaah haji.
“(Antaranya) dengan menganjurkan pelbagai kursus serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik bermula di tanah air sehinggalah ke tanah suci,” titah Baginda lagi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
Sementara pihak Tabung Haji juga disarankan baginda agar meneruskan usaha-usaha penambahbaikan terhadap sistem pengurusan haji agar sentiasa di tahap cemerlang serta terus kekal menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia.
Jemaah haji juga dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak Tabung Haji serta menjaga keselamatan, kesihatan, mental, fizikal dan spritual agar ibadah yang dilaksanakan di Tanah Suci dapat disempurnakan dengan baik.
“Beta difahamkan Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini membenarkan hampir 3 juta jemaah dari seluruh dunia bagi mengerjakan ibadat haji dan dengan kesesakan di sana (Makkah) pastinya memerlukan kesabaran, toleransi serta kerjasama sesama saudara seagama.
“Semoga anda semua dapat mengerjakan ibadat haji dengan sempurna, dan kembali dengan haji yang mabrur,” titah Baginda lagi.
Dalam pada itu seramai 31,600 jemaah haji dari Malaysia berangkat menunaikan rukun Islam ke lima kali ini. – HARAKAHDAILY 17/5/2024











