
TULAR satu insiden mengejutkan dan menyayat hati pemain bola sepak negara yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali. Sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius, lecuran tahap empat. Faisal Halim, seorang bintang bola sepak Selangor FC dan Skuad Harimau Malaya kebanggaan negara sekarang masih dalam rawatan rapi dan dikatakan semakin stabil.
Sebelum Faisal Halim, pemain bola sepak pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala dan kaki akibat disamun. Selepas itu, negara dikejutkan lagi dengan insiden serangan terhadap kenderaan milik pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim.
Kejadian demi kejadian berbentuk keganasan berlaku kepada pemain-pemain bola sepak di negara kita. Situasi ini sangat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius kerana ianya melibatkan isu keselamatan dan nyawa. Syabas kepada pihak pengurusan bola sepak terbabit, serta pihak polis yang mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kawalan keselamatan terhadap pemain-pemain ini.
Pemain bola sepak sama seperti selebriti yang lain, mempunyai peminat dan fan club yang tersendiri. Minat sekadarnya atau taksub melampau? Itu yang menjadi persoalan kepada isu besar mutakhir ini sehingga mengancam nyawa.
Seperti lagu, filem dan drama, sukan juga merupakan satu minat yang diiktiraf dalam Islam. Meraikan fitrah manusia minat dengan sukan, lebih lagi sekiranya kita juga turut aktif bermain sukan yang diminati adalah sangat digalakkan. Bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan fizikal dan mental, malah semangat berpasukan juga dapat dipupuk khususnya dalam sukan bola sepak ini.
Namun, sejauh mana sukan bola sepak di negara kita dapat membina nilai murni ini dalam kalangan peminat dan penyokongnya?
Kewujudan pages troll bola sepak yang kencang mengkritik dan mengutuk sesama sendiri saban hari, perlu diambil tindakan dan diharamkan segera oleh pihak berwajib. Perkara ini secara jelas melibatkan akta hasutan dan kebencian seterusnya mencetuskan perbalahan sesama penyokong.
Sekiranya benar insiden-insiden keganasan seperti ini berlaku disebabkan fanatik individu mahupun pasukan, atau ketidakpuasan hati kepada persatuan-persatuan bola sepak negara, hal ini perlu kepada renungan serta muhasabah bersama selain siasatan terperinci. Perlunya didikan yang berterusan kepada pemain, penyokong dan semua yang terlibat dalam arena bola sepak di negara kita yang tercinta ini.
Di dalam kehidupan beragama, kita diajar untuk bersederhana dalam apa jua perkara. Menjadikan sukan sebagai hobi dan minat, juga mengidolakan pemainnya atas dasar bakat dan kebaikannya adalah dibenarkan, namun haruslah berpada-pada. Jangan sampai terlalu fanatik sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik atau yang buruk sehingga membawa kepada kebencian melampau. Sedangkan, suri tauladan yang paling baik adalah susuk tubuh Baginda Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(Al Ahzab: 21)
‘AQILAH ABD
Pahang Darul Makmur – HARAKAHDAILY 14/5/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











