PRK KKB: Kerajaan Madani dan sindrom penafian

- Advertisement -

SINDROM penafian adalah keadaan psikologi apabila seseorang itu memilih untuk menolak realiti dan fakta yang nyata.

- Advertisement -

Kebanyakan pemimpin Kerajaan Madani hidup dalam sindrom penafian ini.

Sebagai contoh selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) kita tengok apa respons pemimpin utama parti dalam Kerajaan Madani?

Anwar Ibrahim: Kemenangan di KKB adalah usaha Kerajaan Madani memulihkan ekonomi dan membawa masuk pelabur dan usaha ini perlu dilipat gandakan.

Zahid Hamidi: Kemenangan Calon DAP dalam PRK KKB adalah bukti kebersamaan Kerajaan Perpaduan.

Anthony Loke: Kemenangan KKB adalah bukti kejayaan Kerajaan Perpaduan.

Okey sekarang kita tengok apa realiti?

Di bawah adalah keputusan pengundian PRU15, PRN 2023 dan PRK 2024 dan beberapa analisa:

PRU15

BN (MCA) – 6,324 (21.90%)
PH (DAP) – 14,379 (49.78%)
PN (BERSATU) – 8,180 (28.32%)

PRN 2023

PH (DAP) – 14,862 (54.40%)
PN (BERSATU) – 10,743 (39.33%)

PRK 2024

PH (DAP) – 14,000 (57.21%)
PN (BERSATU) – 10,131 (41.40%)

1. Orang UMNO undi DAP?

Dari data di atas kita dapati pada PRU15, BN mendapat 6,324 undi dan majoriti pengundi mereka adalah pengundi Melayu. Sebab Cina dah lama lari sokong DAP.

Selepas ‘perkahwinan’ PH-UMNO, pada PRN 2023, daripada 6,324 pengundi BN, hanya 483 sahaja yang memberikan undi kepada calon DAP.

Dalam PRK 2024 pula, jumlah pengundi DAP semakin menurun walapun jumlah peratus pengundi hanya berkurangan 7.44 peratus sahaja.

Jadi jelas menunjukkan bahawa pengundi UMNO masih tidak mahu undi calon PH dan DAP. Walaupun pemimpin utama mereka turun dan pujuk, prinsip mereka tidak mudah dijual beli. Tahniah ahli UMNO.

2. PDM Melayu dikuasai oleh calon DAP

Pimpinan UMNO kata mereka dah berjaya rampas 6 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Melayu. Namun hakikatnya, PDM yang berjaya dirampas dari PRN 2023 ke PRK 2024 hanyalah dua sahaja iaitu Pertak dan Kampung Air Jernih.

PDM Pertak saya difahamkan ia adalah kawasan yang ada pengundi Orang Asli manakala PDM Kampung Air Jernih adalah kawasan yang memang 50-50. Selainnya adalah PDM yang memang dimenangi DAP sebelum ni.

Jadi datang mana 6 PDM dirampas?

Untuk pengetahuan, PDM Melayu terbesar adalah Ampang Pecah, Kampung Air Jernih dan Bandar Utama Batang Kali.

Ampang Pecah dan Bandar Utama Batang Kali, majoriti PN semakin bertambah. Manakala Kampung Air Jernih yang sebelum ini dimenangi oleh PN dengan majoriti hanya 17 undi telah dimenangi oleh DAP dengan majoriti hanya 11 undi.

Tetapi daripada 14 PDM yang dimenangi DAP, 11 PDM mencatatkan majoriti yang berkurangan (Rujuk gambar lampiran). Manakala 2 PDM yang dimenangi oleh PN, majoriti meningkat.

Ini menunjukkan prestasi calon DAP dalam PRK kali ini sebenarnya menurun dan prestasi calon PN meningkat.

3. Undi anak muda kekal milik PN

Mengikut kajian oleh Institut Darul Ehsan, pengundi muda di bawah 40 tahun masih terus dikuasai oleh PN.

18 – 24 Tahun: 63%
25 – 30 Tahun: 65%
31 – 40 Tahun: 59%

Kebanyakan saluran anak muda (40 tahun kebawah) di PDM majoriti Melayu dan PDM campuran dimenangi oleh PN.

Sebagai contoh analisa majoriti PN di 4 saluran terakhir untuk beberapa PDM adalah seperti berikut:

PDM Ampang Pecah (PDM Melayu):
PRU2023: 334
PRK 2024: 471

PDM Kuala Kali (PDM campuran):
PRU2023: -236
PRK 2024: -89

PDM Bandar Kuala Kubu Bharu (PDM campuran):
PRU2023: -281
PRK 2024: -110

Kesimpulan

DAP turun dengan segala jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Menteri KPKT Nga Kor Ming turun dan umum peruntukan RM5.21 juta. Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad kantoi beri duit raya kepada pengundi.

Tetapi hasilnya:

1. UMNO gagal bawa keluar sokongan pengundi Melayu kepada DAP.

2. Pengundi muda terus bersama Perikatan Nasional.

3. Majoriti PN terus meningkat di hampir semua PDM.

Kalau pemimpin Kerajaan Madani nak terus berada dalam denial syndrome dan terus beranggapan UMNO sudah kembali kuat, orang Melayu sudah mula bersama PH dan DAP,

Maka pesan saya ‘teruskan bermimpi di siang dan malam hari’. – HARAKAHDAILY 13/5/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -